Khamis, 14 April 2022

Jejak Kasih: 50 tahun berpisah, Batliyah harap ada sinar Ramadan bertemu Che Putih

 

BATLIYAH Din tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan kisah kakaknya, Che Putih di Felda Padang Piol di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT: Warga emas, Batliyah Din, 62, sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT semoga ada sinar di penghujung bulan Ramadan ini supaya dia dapat bertemu dengan kakaknya, Che Putih yang terpisah sejak 50 tahun lalu.

Ketika ditemui pemberita di rumahnya Felda Padang Piol di sini hari ini, Batliyah berkata, sejak berpisah, dia tidak henti-henti berdoa lebih-lebih lagi setiap kali bulan Ramadan dan menjelang Syawal menunggu kepulangan kakaknya.

“Setiap kali berbuka puasa dan menjelang Aidilfitri, air mata berjurai mengenangkan Kak Teh (panggilan bagi Cik Putih) kerana sudah hampir 50 tahun dia meninggalkan kami.

“Kak Teh juga tidak bersama ketika arwah ibu dan bapa meninggal dunia selepas dia keluar dari rumah pada 1973 dan tidak pernah pulang langsung selepas itu,” katanya di sini hari ini. 

Menurut Batliyah, Kak Teh anak ketiga daripada tujuh beradik bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang, tiba-tiba keluar meninggalkan keluarga kemungkinan ‘merajuk’ apabila arwah bapa dan ibu tidak bersetuju permintaannya untuk berkahwin dengan seorang lelaki dipercayai sudah mempunyai isteri.

Katanya, ketika kejadian itu, mereka sekeluarga tinggal di Kampung Pantai Perai, Kedah selepas ayahnya, Din Mohamad bersara sebagai anggota polis di Balai Polis Penang Road, Pulau Pinang sekitar awal 70-an dan sebanyak dua kali Kak Teh  membawa lelaki berkenaan meminta restu bapa dan ibu untuk berkahwin, tetapi permintaannya ditolak.

“Ketika Kak teh meninggalkan kami, saya baharu berusia 15 tahun, manakala dia dalam lingkungan 20-an yang kemudiannya tidak mendengar khabar berita sehingga ini,” katanya.

Batliyah yang kini menetap di Felda Padang Piol sejak dua tahun lalu setelah berkahwin dengan Soid Bidin, 69, yakin kakaknya berada di dua tempat, iaitu di Pahang dan Pulau Pinang.

“Saya pernah mendengar perkhabaran daripada seorang ahli keluarga kami, Kak Teh bersama suami yang dinikahinya berhijrah ke Pahang mencari kerja sekitar 1974/1975 dan ada yang menyatakan dia tinggal di Balik Pulau, Pulau Pinang.

“Namun, saya pernah beberapa kali menjejakinya di Balik Pulau, tetapi hampa kerana tidak  berjumpa dan tidak tahu lagi di mana Kak Teh tinggal walaupun dipercayai dia berada di Pahang,” katanya.

Warge emas itu menambah, Kak Teh kini berusia dalam lingkungan 70-an merupakan seorang kakak yang cukup penyayang kerana sewaktu berusia kanak-kanak, dia kerap membeli baju baharu setiap hujung bulan ketika mendapat gaji kerja kilang, malah banyak berbelanja untuk keluarga ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Nostalgia ini menyebabkan saya diruntun hiba amat sangat dan berlinang air mata setiap kali di bulan Ramadan lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Saya berharap Kak Teh datanglah ke Felda Padang Piol menemui saya dan kita boleh mengatur pertemuan supaya dapat bertaut kembali dengan adik-beradik yang masih tinggal di Kedah dan Perlis,” katanya.

Dia berkata, Kak Teh sepatutnya melupakan kisah lama kerana masing-masing sudah pun berusia lanjut dan bila-bila masa akan kembali menghadap Allah SWT.

“Saya berharap orang ramai terutamanya anak Che Putih (Kak Teh) yang membaca kisah ini dapat menghubunginya menerusi talian 0146389428 atau datang ke rumah bernombor 410 Felda Padang Piol, Jerantut malah sekiranya dia uzur, saya sanggup pergi berjumpanya.

“Semoga Kak Teh kepulangan dapat mengubati kerinduan saya dan bertaut kembali bersama keluarga kita sempena bulan yang mulia dan sambil memeriahkan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” ujarnya. – UTUSAN

0 comments:

Catat Ulasan