Rabu, 6 April 2022

9 lokasi 'hotspot' kaki ponteng puasa di Perlis

 Gambar hiasan

Gambar hiasan

KANGAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) mengenal pasti sembilan lokasi tumpuan atau 'hotspot' dalam kalangan kaki ponteng puasa pada Ramadan ini.

Timbalan Pengarah JAIPs, Muhammad Hafeez Abu Seman, berkata tiga daripadanya adalah 'hotspot' baharu, manakala enam lagi lokasi lama yang sering disasarkan golongan berkenaan.

Beliau berkata, ia membabitkan kawasan pekan dan beberapa kampung di tiga daerah utama, iaitu Kangar, Arau serta Padang Besar.

"Berdasarkan aduan dan pemerhatian pihak JAIPs, setakat ini, ada tiga lokasi 'hotspot' baharu dikenal pasti, selain enam 'port' lama yang turut dipantau.

"Ia antara lain turut disebabkan masih ada peniaga yang degil serta melanggar undang-undang dengan menjual makanan dan minuman sebelum masa dibenarkan," katanya kepada BH, hari ini.

Muhammad Hafeez berkata, JAIPs sentiasa melakukan pemantauan berkala, selain membuka ruang dan menggalakkan masyarakat mengemukakan aduan berhubung kesalahan terbabit.

Beliau berkata, antara kesalahan berkaitan ialah makan, minum dan merokok dengan sengaja dalam khalayak ramai ketika siang Ramadan, serta menjual makanan, minuman dan tembakau kepada orang Islam bagi tujuan tidak berpuasa, terutama sebelum waktu dibenarkan oleh pihak berkuasa.

"JAIPs sebagai agensi pelaksana dasar agama Islam negeri berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis serta peruntukan enakmen berkaitan, sentiasa berusaha memelihara kesucian Ramadan dengan menguatkuasakan Seksyen 25 Enakmen Jenayah Dalam Syarak (EJDS) 1991 (Pindaan 2012) yang khusus berkaitan kesalahan mencemarkan Ramadan.

Dalam usaha melaksanakan penguatkuasaan berkaitan perkara terbabit, kita turut merangka beberapa siri Operasi Bersepadu Ramadan (Ops Ramadan) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar, polis, Jabatan Kesihatan Perlis dan Jabatan Penyiaran Negeri sepanjang tempoh Ramadan kali ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga mengambil inisiatif memberi kesedaran kepada orang awam berhubung kesalahan ketika Ramadan yang termaktub dalam EJDS 1991, antara lain melalui hebahan dibuat menerusi media rasmi dan media sosial serta masjid di seluruh Perlis.

"Individu yang ditahan kerana melakukan kesalahan berkenaan boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 25 EJDS 1991 (Pindaan 2012) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama.

"Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, hukuman denda maksimum diperuntukkan ialah RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Muhammad Hafeez sekali gus menasihati seluruh umat Islam di negeri ini agar merebut peluang ketika Ramadan untuk taat beribadah serta tunduk melaksanakan perintah Allah SWT, kerana sebarang usaha mencemari kemuliaan Ramadan hanya akan merugikan diri sendiri di dunia dan akhirat.

-BH Online

0 comments:

Catat Ulasan