Hos penyejuk minyak atau ‘oil cooler hose’ (OCH) adalah komponen yang menjaga transmisi dan minyak enjin kereta daripada mengalami panas melampau.
PETALING JAYA: Pemilik MPV Exora keluaran Proton dinasihatkan agar tidak membeli hos penyejuk minyak (oil cooler hose atau OCH) yang ditempah khas kerana dikhuatiri akan menyebabkan lebih banyak kerosakan berlaku.
Ketua Pengurusan Kandungan Proton, Faisal Shah memberitahu pembekal OCH alternatif diragui kepakarannya selain tidak mempunyai makmal untuk tujuan ujikaji komponen buatan mereka.
Isu spesifik seperti OCH pada Proton Exora adalah salah satu isu yang sedang diberi perhatian dan kita usahakan untuk menyelesaikannya. Proton menasihatkan pengguna supaya tidak membeli komponen tidak tulen.
Bagi Proton Exora yang menggunakan enjin turbo, ia adalah satu model yang telah dilancarkan pada 2011 tetapi, pihak syarikat masih melakukan banyak aktiviti untuk meningkatkan prestasinya, termasuk menyelesaikan apa-apa isu yang ada seperti OCH,” katanya kepada FMT.
OCH adalah komponen yang menjaga transmisi dan minyak enjin kereta daripada mengalami panas melampau (overheating).
Jika OCH pecah atau rosak, minyak akan bocor menyebabkan enjin dan transmisi kereta gagal dilincirkan dengan baik, yang akhirnya menyebabkan panas melampau.
Faisal memberitahu, selepas beberapa tahun melancarkan Exora dengan enjin turbo, Proton mengenal pasti berlaku kebocoran OCH yang ketika itu diperbuat sepenuhnya daripada getah.
Katanya, pada masa itu, Proton telah pun menukar OCH pada kenderaan yang terjejas, melakukan kempen servis bagi semua kenderaan yang dikeluarkan serta menukarkan status hos sebagai perlu ditukarkan setiap 40,000 kilometer.
Dan akhir sekali memperkenalkan bahagian baru, iaitu hos separuh besi pada tahun 2018. Ini telah memanjangkan hayat hos itu kepada 80,000 kilometer dan membolehkan ia lebih bertahan pada suhu dan tekanan yang tinggi,” katanya.
Faisal yang mewakili Proton menjelaskan ketidakpuasan hati pemilik Exora yang mendakwa syarikat otomobil nasional itu gagal menyelesaikan isu OCH yang kerap pecah dan mendatangkan kerugian yang banyak.
Ujarnya, Proton akan memanggil semula kenderaan MPV keluarannya itu, jika terdapat teknologi baharu yang boleh menggantikan OCH berkenaan.
Menerusi Kelab Pemilik Exora Malaysia di Facebook, hampir setiap hantaran ahlinya berkaitan masalah OCH pecah. Malah ada yang menggelar isu OCH sebagai ‘bom jangka’ untuk Exora.
Kebanyakan pemilik Exora dalam kumpulan itu mendedahkan mereka terpaksa membeli OCH alternatif bernilai sehingga RM1,000, selepas Proton sejak 2011 dikatakan tidak menawarkan penyelesaian berkaitan isu itu.
Ada juga yang mengeluh apabila terpaksa menunggu lama untuk pusat servis Proton menukar atau menyelesaikan isu OCH dan keadaan itu memaksa mereka mencari penyelesaian sendiri dengan bantuan mekanik.
0 comments:
Catat Ulasan