Mahkamah Amerika Syarikat (AS) mendapati bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng bersalah kerana terlibat dalam rasuah besar-besaran dan pengubahan wang haram melibatkan dana syarikat pelaburan Malaysia Development Berhad (1MDB).
Roger Ng didapati melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada syarikat 1MDB, menurut juri Amerika yang diumumkan oleh Mahkamah di Brooklyn.
Dia dituduh mengambil sebanyak AS$35.1 juta (RM148 juta) sebagai balasan membantu ahli Perniagaan dari Malaysia Low Taek Jho atau Jho Low yang telah mencuri sebanyak AS$2.7 bilion (RM11.4bilion) dari 1MDB.
Ng berdepan hukuman penjara selama 30 tahun tetapi tempohnya mungkin lebih singkat. Ng tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika keputusan juri membacakan, namun peguamnya, Marc Agnifilo menundukkan kepalanya, lapor Bloomberg.
Ng bagaimanapun kekal bebas dengan bon jaminan AS$20 juta, sementara Hakim Daerah AS Margo Brodie tidak menetapkan tarikh hukuman dilaksanakan.
Pihak pendakwa raya mengenakan tuduhan bahawa Ng berkonspirasi untuk melanggar undang-undang anti rasuah dan pengubahan wang. Dia satu-satunya pegawai bank Goldman Sachs yang dihadapkan ke mahkamah susulan terbongkarnya skandal kewangan terbesar dalam sejarah.
Dia didakwa membantu bekas ketuanya, Tim Leissner menggelapkan wang 1MDB, mengubah wang dan merasuah pegawai berkaitan untuk mendapatkan perniagaan bagi pihak Goldman.
Ng, 49, sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan dihadapinya – bersubahat dalam penggubahan wang haram dan melanggar dua undang-undang antirasuah AS.
“Keputusan ini kemenangan besar dan keadilan untuk rakyat Malaysia” – Peguam Timur New York
“Keputusan itu adalah kemenangan besar demi keadilan dan untuk rakyat Malaysia yang menjadi mangsa skandal besar-besaran ini yang dilakukan dalam ketamakan dan kerakusan,” kata peguam Daerah Timur New York, Breon Peace, dalam satu kenyataan.
“Defendan dan kroninya melihat 1MDB bukan sebagai satu entiti untuk berbuat kebaikan, tetapi sebagai ‘bank simpanan’ untuk memperkayakan diri mereka dengan timbunan wang yang disedut daripada dana itu,” kata Peace.
Ketika keputusan itu dibacakan ketua juri, Ng yang memakai sut jaket dan tali leher hitam, tidak menunjukkan emosi, sebaliknya hanya sesekali memandang juri dan mejanya.
Peguam Ng, Marc Agnifilo memandang ke bawah dengan kekecewaan selepas keputusan bersalah bagi pertuduhan pertama dibacakan.
Hakim Daerah AS, Margo Brodie, kemudian mengarahkan Ng dikenakan perintah berkurung sementara menunggu hukuman dijatuhkan, namun tidak mengkategorikan lelaki itu sebagai berisiko melarikan diri.
Perbincangan berhubung keputusan itu bermula sejak Selasa lalu selepas proses perbicaraan berlangsung di mahkamah persekutuan di Brooklyn selama dua bulan.
Agnifilo memaklumkan Ng mungkin akan membuat rayuan terhadap keputusan itu, bergantung pada hasil usul pasca perbicaraan dan hukumannya.
Peguam itu turut bertegas dengan keputusannya sebelum ini yang meyakinkan Ng untuk menolak ekstradisi untuk berdepan perbicaraan, atas alasan lelaki itu memiliki peluang lebih cerah berdepan perbicaraan adil di AS berbanding Malaysia.
“Kes besar sebegini adalah berat dan amat sukar untuk menang,” katanya.
-malaysiadateline.com
0 comments:
Catat Ulasan