Selasa, 19 April 2022

Sukan SEA:Ambil peluang ketiadaan Arif Aiman

 AKSI Arif (kiri) ketika bertemu Guangzhou FC. FOTO Bernama

AKSI Arif (kiri) ketika bertemu Guangzhou FC. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Ketiadaan nama Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21), Arif Aiman Hanapi bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun negara bagi menghadapi temasya Sukan Sea di Vietnam bulan depan, sedikit menimbulkan persoalan dikalangan peminat tempatan.

Ketika nama-nama bintang muda yang lain termasuk yang berpengkalan di luar negara seperti Luqman Hakim Shamsudin dari kelab KV Kortrijk di Liga Belgium dan pemain kelab Azul Claro Numazu di Jepun, Hadi Fayyadh Abdul Razak pulang menyahut seruan negara, tetapi tidak buat Arif Aiman.

Tidak dapat dipastikan mengapa namun mungkin ketiadaan pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) itu disebabkan komitmen kelab berkenaan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) ketika ini menyebabkan namanya tercicir.

Malah, saingan Sukan Sea yang berlangsung di luar jendela Fifa mengukuhkan lagi alasan kelab untuk tidak melepaskan Arif Aiman.

Begitupun bagi bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berpandangan sebaliknya dengan melihat ia adalah peluang terbaik buat pemain muda lain menunjukkan kemampuan dan mengisi posisi ditinggalkan Arif Aiman itu.

Katanya, skuad B-23 yang dibimbing Brad Maloney juga tidak boleh sentiasa bergantung kepada khidmat pemain JDT hingga mengenepikan peluang pemain dari kelab lain.

"Memang rugi sebab tak dapat bawa pemain yang terbaik seperti Arif Aiman, tetapi sampai bila nak harapkan pemain JDT sahaja.

"Saya fikir ramai yang boleh isi posisi ditinggalkan Arif Aiman kerana kita pun ramai potensi dan pemain muda yang bagus-bagus. Kalau kita tak beri peluang macam mana kita nak tahu kemampuan mereka," katanya kepada Arena Metro.

Jelasnya lagi, perbincangan mendalam sudah tentunya dibuat sebaiknya oleh pengurusan skuad B-23 dan pengurusan JDT sebelum nama-nama itu diumumkan.

"Tak timbul soal tolak panggilan negara sebab FAM dah tentu dah berbincang dengan JDT. Jadi kita perlu terima keputusan itu," katanya.

Semalam, Maloney mengumumkan senarai 31 pemain untuk kem latihan pusat yang akan bermula, Selasa ini.

Semua pemain yang dipanggil akan melapor diri secara berperingkat selepas selesai komitmen perlawanan bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana musim ini.

Mereka dijadual mengharungi dua aksi persahabatan secara tertutup bertemu skuad B-23 Timor Leste pada 29 April dan skuad B-23 Filipina pada 1 Mei.

Seterusnya, Maloney akan menamakan senarai akhir 20 pemain untuk dibawa ke Sukan Sea namun peraturan penganjur menetapkan pemain tambahan hanya dibenarkan jika terdapat mana-mana pemain disahkan positif Covid-19 untuk menggantikan pemain terbabit.

-myMetro

0 comments:

Catat Ulasan