Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan tiga adik-beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, menurut perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Mac 2021, pemohon diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas ketiga-tiga anaknya.
"Terdapat juga perintah ex-parte interim bertarikh 20 Disember 2019, memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal anak-anaknya kepada pemohon.
"Perintah mahkamah masih kekal dan masih sah. Perintah mahkamah tidak boleh dilayan dengan sewenang-wenangnya dalam berhadapan penghinaan mahkamah. Oleh sebab perintah mahkamah masih kekal, saya membenarkan permohonan writ habeas corpus," kata hakim itu.
Dalam notis usulnya yang difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Februari, Loh menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak yang tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.
Loh memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden, dan dikembalikan kepadanya.
Loh, 34, kelihatan menangis ketika hakim menyampaikan penghakiman.
Anak Loh, kembar perempuan berumur 14 dan seorang lelaki berumur 10 tahun, ditempatkan di bilik saksi ketika prosiding itu.
Beliau memfailkan permohonan habeas corpus atas alasan walaupun Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ketiga-tiga anaknya itu kepadanya, beliau tidak dapat bertemu mereka kerana bekas suaminya M Nagahswaran menyembunyikan mereka.
Loh mendakwa mendapat tahu anak-anaknya berada dalam kawalan responden pertama (Nazirah dipercayai pendakwah) di Yayasan Hidayah Centre di Bayan Lepas, Pulau Pinang, namun dia (Nazirah) tidak membenarkannya pemohon bertemu dan menjemput anak-anaknya.
Beliau mendakwa anak-anaknya kemudian dipindahkan ke Perlis dan menempatkan mereka di bawah kawalan dua responden.
-myMetro
0 comments:
Catat Ulasan