Khamis, 3 Februari 2022

BERSATU calonkan Ismail Sabri sebagai PM - Wan Saiful

Wan Saiful (dua dari kanan) menyerahkan bendera PN kepada wakil BERSATU Muar sebagai simbolik pelancaran jentera PRN Johor di Muar. - Foto NSTP/ESSA ABU YAMIN
Wan Saiful (dua dari kanan) menyerahkan bendera PN kepada wakil BERSATU Muar sebagai simbolik pelancaran jentera PRN Johor di Muar. - Foto NSTP/ESSA ABU YAMIN

KUALA LUMPUR: BERSATU mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa sokongan kepadanya bersyarat, termasuk tiada kompromi apabila membabitkan isu integriti dan menjaga kebajikan rakyat yang memerlukan bantuan.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata kumpulan yang mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri ialah BERSATU, bukannya UMNO.

"Kita kena ingat Ismail yang menjadi Perdana Menteri hari ini, bukan dicalonkan UMNO.

"Kalau UMNO silap-silap dia nak Zahid Hamidi (Presiden UMNO). Nak Zahid? Pening kepala nak jawab tetapi itulah hakikatnya," katanya pada kempen ceramah Perikatan Nasional (PN) di Muar yang disiarkan secara langsung di Facebook Penerangan BERSATU, semalam.

Turut hadir Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

 Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, syarat dikenakan BERSATU itu tiada tolak ansur, khususnya dalam isu membabitkan partinya dan menjaga kebajikan rakyat yang memerlukan bantuan.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU ialah contoh terbaik dalam menjaga kebajikan rakyat.

"Tak pernah ada jumlah dana banyak diperuntuk untuk membantu rakyat dalam sejarah negara. Tetapi Muhiyddin buat. Itu yang kita nak Ismail teruskan," katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri mungkin mahu meneruskan kecemerlangan Muhyiddin dalam memerintah negara, tetapi mendakwa mungkin 'kluster mahkamah' UMNO tidak peduli.

"Apa mereka buat, fokus kepada nak selamatkan diri. Fokus kepada nak bolot kuasa. Dan, fokus kepada jatuhkan semua orang lain, termasuk yang bawa dia naik. Sebab itu jadi pengajaran kepada kita," katanya.

"Ada satu kumpulan mengambil beberapa tindakan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan adalah kluster mahakamah. Mereka kena bertanggungjawab kerana ini semua menyusahkan rakyat," katanya.

Wan Saiful menyindir mungkin UMNO mahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri. - Foto hiasan UMNO ONLINE
Wan Saiful menyindir mungkin UMNO mahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri. - Foto hiasan UMNO ONLINE
-BH Online

0 comments:

Catat Ulasan