Selasa, 22 Februari 2022

Isu Zahid:Berapa kali nak bersumpah, sumpahlah, itu terpulang kepada dia kata Muhyiddin

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN Bil.3/2022 di Kementerian Kewangan hari ini.BERNAMA
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN Bil.3/2022 di Kementerian Kewangan hari ini.BERNAMA

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhak untuk membuat sumpah laknat terhadap kenyataan bahawa beliau ada bertemu dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meminta bantuan membabitkan kes mahkamah yang dihadapinya ketika ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ia berikutan apa yang dikatakannya sebelum ini adalah benar dan beliau sendiri mempunyai bukti dan saksi.

Muhyiddin berkata, Ahmad Zahid perlu bercakap benar kepada rakyat mengenai perkara itu.

"Saya ada bukti dan malam itu saya dah tunjukkan saksinya. Tetapi kalau dia nak sumpah, berapa kali nak bersumpah, sumpahlah, itu terpulang kepada dia.

 "Saya tidak akan bersumpah kerana saya tidak pernah berbohong.

"Apa yang saya sebut itu adalah hak walaupun kadangkala yang hak itu adalah pahit didengar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, kenyataannya sebelum ini mengenai tindakan Zahid membawa fail kes mahkamahnya selepas beberapa hari beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan pada Mac 2020, bukan sesuatu yang direka dengan sengaja kerana politik.

Beliau berharap rakyat akan memahami apa yang dikatakannya itu.

Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin, ketika berucap di Pentas PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh di Felda Tenggaroh 3, berkata Ahmad Zahid ada ke rumahnya ketika beliau berbincang dengan Presiden PAS, Tan Sri Abd Hadi Awang, dengan membawa satu beg berisi dokumen kes mahkamah.

Beliau dilaporkan berkata, dalam kejadian beberapa hari selepas beliau memegang jawatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid ada meminta tolong daripadanya kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid pada Ahad lalu, berkata beliau sanggup dan bersedia melakukan sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan Muhyiddin itu.

Sebaliknya, beliau mendakwa tidak pernah pergi berjumpa dengan Muhyiddin sepanjang tempohnya menjadi Perdana Menteri atau membawa timbunan fail untuk meminta dilepaskan daripada tuduhan mahkamah.

-BH Online

0 comments:

Catat Ulasan