KUALA LUMPUR: Undi 18 tahun yang bakal dilaksanakan menjelang akhir tahun ini dijangka mengubah corak kempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata corak kempen akan lebih menjurus kepada isu kepentingan dan keperluan anak muda.
Katanya, soal pekerjaan, ekonomi dan pendidikan yang sepatutnya menjadi tumpuan parti politik.
"Namun setiap parti tidak sewenang-wenangnya berjanji manis untuk menarik sokongan mereka seperti pendidikan percuma dan lain-lain," katanya kepada BH.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah diarah bersiap sedia untuk melaksanakan Undi 18 sebelum 31 Disember ini seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu.
Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.
Mohd Izani berkata, sebelum ini memang setiap parti ada meletakkan aspirasi anak muda dalam manifesto pilihan raya masing-masing.
Katanya, mungkin selepas ini mereka perlu menawarkan tawaran baharu yang lebih baik lagi.
Ditanya mengenai gesaan Undi 18 ini dilaksanakan bersama pendaftaran pemilih secara automatik katanya perkara itu perlu mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Namun, pendaftaran automatik undi 18 tahun ini, sepatutnya dimulakan dulu dengan pengundi yang layak sedia ada.
"Tiga proses penting iaitu pendaftaran, semakan daftar pemilih dan proses membuang undi perlu dihayati oleh pengundi dengan usaha mereka sendiri.
"Pendaftaran automatik ini bagus, cuma kita manjakan mereka kumpulan pengundi. Pendaftaran pemilih, melatih orang muda ini melakukan sendiri atas kesedaran tanggungjawab sebagai pengundi," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis berkata, Undi 18 memberikan banyak dimensi baharu membabitkan orang muda dalam arus perdana politik.
Namun, katanya wujud persoalan mengenai sistem yang menyokong politik orang muda ini seperti sekolah dan institusi pendidikan.
"Timbul persoalan sama ada adakah sekolah menyokong aktiviti politik untuk orang muda usia 18 tahun ini, bagaimana pula keterbukaan terhadap menerima perdebatan politik terbuka di sekolah.
"Ini semua perlu difikirkan dalam kita mengalu-alukan usaha menyegerakan Undi 18 tahun menjelang akhir tahun ini," katanya.
Beliau menjelaskan perkara berkaitan politik di sekolah dan institusi pendidikan akan menjadi satu yang baharu kerana sebelum ini sememangnya tiada pendedahan sedemikian dan jika ada pun, ia terhad kepada isu kenegaraan.
"Jadi perlu ada persediaan dan penjelasan lanjut, berhubung kempen politik di sekolah dan institusi pendidikan tinggi," katanya.
Mengenai corak kempen dengan pelaksanaan Undi 18, katanya sudah tentu akan ada penumpuan kepada isu yang memikat pengundi baharu.
Katanya, parti politik perlu bijak dalam hal ini kerana pengundi ini masih belum matang, mungkin juga tahap kepercayaan mereka berbeza selain pandangan masih cetek.
"Cuma dibimbangi pengundi baharu ini tidak dimanipulasi parti politik dalam usaha mereka mendapatkan undi," katanya.
Berhubung pendaftaran automatik pemilih, katanya perkara itu sepatutnya berlaku selaras dengan keputusan umur boleh mengundi diturunkan kepada 18 tahun.
"Ia sepatutnya dilakukan, namun semuanya membabitkan kerjasama dengan agensi dan institusi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara.
"Adalah diharapkan Undi 18 ini akan membuka jalan kepada pendaftaran automatik pemilih ," katanya.
-BH Online
0 comments:
Catat Ulasan