PENYANYI rap Caprice, mengingatkan orang ramai tidak terus menerus menggugut atau mencacinya jika tidak mahu berdepan tindakan daripada pihaknya.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 33, berkata dia bagaimanapun tidak begitu peduli mengenai ugutan dan hinaan itu yang kini telah menjadi kebiasaan diterimanya di media sosial.
Menurutnya, dia kini mahu menumpukan perhatian dalam menguruskan banyak perkara yang tertunggak terutama perniagaannya selepas lama berada di luar negara.
“Salah satu perkara yang saya perlu fikirkan segera setelah pulang ke Kuala Lumpur adalah mengenai urusan perniagaan saya.
“Meninggalkan negara selama kira-kira tiga bulan banyak yang tertunggak terutama dalam semua perniagaan saya… harus memikirkan bagaimana untuk bangkit semula. Insya-Allah,” katanya menjawab beberapa persoalan di Instagramnya.
Ditanya apa perancangan selepas ini, dia berharap untuk menjadikan Tiger of Al Quds sebuah yayasan akan menjadi kenyataan.
“Kita bermula secara kecil dan kemudian berkembang dan kita memang bekerjasama dengan Kedutaan Palestin, rakan-rakan baru di Jordan dan Palestin. Satu hari nanti anda semua boleh daftar dan sertai saya,” katanya.
Ditanya pula apa kejayaannya dalam misi bantuan ke Gaza, Caprice berpendapat jika ingin memberi kesan yang besar dan bagi jangka masa panjang untuk Palestin, dia perlu bertapak di Timur Tengah.
“Ia sama seperti bagaimana saya membina karier sebelum ini iaitu buat lagu dan muzik video untuk mendapatkan perhatian anak muda dan barulah meneruskan dengan hujah serta jihad.
“Ia sama keadaannya di Timur Tengah untuk mendapatkan sokongan golongan muda di sana,” katanya.
Menjawab mengenai kecaman netizen yang mempertikaikan misi kemanusiaannya itu terutama merakam muzik video lagu terbaharunya Tiger of Al Quds, Caprice menegaskan dia mempunyai strategi tersendiri dalam misi berkenaan.
“Sebab orang Malaysia fikir yang kita ini buat untuk Malaysia. Tidak..lihat macam lagu ‘Koyak’.. apa cara paling baik untuk masuk tempat baru dan bagi salam pada orang muda di sana, buatlah lagu, Itulah strategi Caprice,” katanya.
Caprice juga menyatakan tidak terasa langsung dengan hinaan orang kerana berpendapat lama-kelamaan orang akan nampak apa yang sebenarnya yang dia buat dan kebenaran akan terbongkar dan mereka yang menghina akan sedar.
Beliau turut berkongsi tarikh pelancaran lagu terbaharunya itu iaitu pada 10 Oktober ini dan mengakui tidak sabar menunggunya kerana ia permulaan dan babak baharu perjuangannya demi Palestin dan ummah.
Penyanyi rap terbabit dilaporkan tiba di tanah air selepas lebih dua bulan berada di Mesir dan Jordan bagi melaksanakan misi kemanusiaan dan beliau kini menjalani kuarantin wajib di hotel. – Malaysiapost
0 comments:
Catat Ulasan