Sabtu, 22 Jun 2024

PRK DUN Sungai Bakap buka tirai hari ini

 Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang yang bertempat di Dewan Serbaguna Sungai Jawi hari ini. - Foto BERNAMA

Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang yang bertempat di Dewan Serbaguna Sungai Jawi hari ini. - Foto BERNAMA

NIBONG TEBAL: Calon Pakatan Harapan (PH) mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin tiba di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, di sini, jam 8.47 pagi bersama lebih 500 penyokong.

Mereka yang sebelum itu berarak dari Pejabat UMNO Nibong Tebal sejauh kira-kira 100 meter (m) turut melaungkan slogan perpaduan dan reformasi sebelum Joohari dibawa masuk petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyerahkan borang pencalonan.

Calon Perpaduan dari Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin (empat dari kiri) berarak bersama penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menuju ke Dewan Serbaguna Jawi sempena Hari Penamaan Calon PRK N.20 DUN Sungai Bakap. - NSTP/Mikail Ong

Turut mengiringi Joohari adalah Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Pengarah Strategik AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Calon PN dari PAS, Abidin Ismail, 56, tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.50 pagi diiringi Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Pengerusi Muafakat Nasional Tan Sri Annuar Musa dan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau bersama lebih 1,000 penyokong PN.

Pusat penamaan calon PRK itu ditutup jam 10 pagi tadi selepas sejam dibuka bermula 9 pagi.

Pengumuman itu dibuat Penolong Pengurus Pilihan Raya Syamsul Fitry Ahmad di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.

Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail (lima dari kiri) berarak bersama penyokong dan pemimpin PAS dan Bersatu menuju ke Dewan Serbaguna Jawi sempena Hari Penamaan Calon PRK N.20 DUN Sungai Bakap. - NSTP/Mikail Ong

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim akan mengumumkan nama-nama calon yang layak bertanding pada jam 11 pagi.

Setakat semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan enam borang pencalonan sudah pun dijual.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 2 Julai ini manakala hari mengundi 6 Julai, dengan kempen akan berlangsung selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam 5 Julai.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya setakat 24 Mei lalu, sejumlah 39,279 orang layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu membabitkan 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Seramai 552 petugas dilantik bagi mengendali proses PRK itu manakala lebih 600 anggota polis ditugaskan untuk menjaga keselamatan.

Kerusi DUN Sungai Bakap dimenangi oleh Nor Zamri, yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu selepas menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Ini adalah PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor).

-BH Online

0 comments:

Catat Ulasan