HAJAT Penang FC untuk mengejutkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak kesampaian selepas tewas tipis 0-1 dalam perlawanan derbi utara Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu.
Pengendali Penang, Akmal Rizal Rakhli mempertaruhkan tiga pemain import dalam misi untuk mengutip tiga mata penuh selepas seri tiga perlawanan sebelum ini.
Manakala, Nafuzi Zain pula menurunkan kesebelasan terbaik dengan membariskan lima pemain import untuk meraih tiga mata pertama musim ini.
Kedua-dua pasukan bermula dengan seimbang apabila Kedah dan Penang masing-masing melakukan serangan ke arah kubu pertahanan lawan.
Pada minit ke-28, penyerang Penang, Mohamad Nabil Ahmad Latpi melakukan jaringan sebelum dibatalkan oleh pengadil kerana menampar bola masuk ke dalam gawang gol Kedah.
Dalam tempoh 30 minit permainan, ketumpulan barisan serangan Kedah dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh dua pertahanan import Penang, Rafael Vitor dan Richmond Ankrah untuk mematahkan segala asakan Sang Kenari.
Pada babak separuh masa pertama, Milos Gordic gagal memberikan sumbangan positif buat serangan Kedah meskipun Sony Norde banyak memberikan bola kepadanya.
Penang dan Kedah terikat dengan keputusan 0-0 selepas pengadil perlawanan, Mohamad Faizudin Ismail meniupkan wisel pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua perlawanan, Penang bermula garang apabila terus menerus mengasak kubu pertahanan Kedah sehingga memaksa Video Bantuan Pengadil (VAR) terlibat untuk menentukan sepakan penalti.
Ia selepas pemain Penang mendakwa bola terkena tangan pertahanan Kedah sebaik sahaja perlawanan separuh masa kedua bermula.
Pada minit ke-70, Nafuzi Zain membawa masuk Syafiq Ahmad dan Ebenezer Assifuah selepas Sang Kenari dilihat bergelut untuk mencari jaringan gol.
Ternyata pertukaran dua pemain itu membuahkan hasil apabila gerakan Syafiq dan Assifuah memecahkan kebuntuan Sang Kenari apabila bintang import itu menjaringkan gol pada minit ke-79 perlawanan.
Dalam media sosial, penyokong Kedah berpuas hati dengan jaringan Assifuah selepas mereka tidak sependapat dengan Nafuzi yang meletakkan pemain itu di bangku simpanan.
"Masuk padang gol terus," kata Dinmalau Gta.
"Nampak tak Nafuzi? Kawan (Assifuah) itu buat gol macam mana? Itu pun nak simpan lagi pemain itu," jelas Asri Abu Bakar.
"Assifuah itu patut masuk awal lagi," luah Sainy Yusainy.
Terkejut dengan jaringan itu, Penang cuba bangkit dengan melakukan beberapa asakan ke kubu Kedah sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.
Jaringan tunggal Assifuah sudah cukup meletakkan Kedah sebagai pemenang dengan keputusan 1-0 sekali gus mengutip tiga mata penuh di rumah pelawat. — Majoriti
0 comments:
Catat Ulasan