Khamis, 20 Jun 2024

'Bukan rezeki saya dan isteri untuk tunaikan haji tahun ini'-Ahmad Mohd Isa

 AHMAD (tengah) bersama Noradilah dan Abdul Halim menamatkan ekspedisi kayuhan haji pada 19 April lalu. FOTO ihsan Ahmad Mohd Isa

AHMAD (tengah) bersama Noradilah dan Abdul Halim menamatkan ekspedisi kayuhan haji pada 19 April lalu. FOTO ihsan Ahmad Mohd Isa

Kuala Lumpur: "Tak dapat haji tahun ini, kita cuba pula tahun depan dan seterusnya hingga berjaya."

Demikian kata Ahmad Mohd Isa, 36, yang melakukan kembara ekspedisi ke tanah suci Makkah dengan berbasikal bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.

Bagaimanapun, misi Ahmad bersama isteri, Noradilah Mohd Shafie, 37, dan seorang lagi rakan Abdul Halim Talha, 57, gagal apabila tidak berjaya memperoleh visa haji biarpun sudah sampai di sana.

"Saya juga manusia biasa, perasaan kecewa dan sedih tak dapat nak sorok walaupun cuba untuk pujuk diri dengan ayat-ayat positif.

"Semua perasaan bercampur baur apatah lagi sewaktu hari Wukuf.

"Sepanjang hari saya duduk depan TV tengok jemaah haji berarak dari Makkah, Mina, Arafah dan Mudzalifah. Saya doa, baca al-Quran dan kembali tengok TV. Sampai saya sendiri terlelap, bila terjaga, sambung doa lagi, tengok jemaah haji. Sepanjang hari saya diam dan muhasabah diri.

"Pasti ada dosa yang belum diampunkan. Pasti ada hikmah di sebalik cerita. Pasti ada hadiah yang Allah nak beri.

"Boleh saja kalau nak buat haji menggunakan visa tak sah, tapi kami pilih untuk masuk cara halal, yang mana ia susah nak dapat. Bukan rezeki saya dan isteri saya tahun ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia sentiasa ingat nasihat ibunya agar menunaikan ibadah haji dengan cara yang betul.

"Ummi saya pesan, Allah boleh saja membiarkan kita pergi haji walaupun dengan cara yang salah, tapi takutnya Allah membiarkan bukan dengan reda-Nya tapi dengan istidraj.

"Kes sekarang ini ramai orang tiada visa haji masuk Makkah buat haji. Jadi, saya berharap supaya warga Malaysia ikut jalan yang betul iaitu visa haji yang dibenarkan oleh pihak berkuasa, bukan ikut jalan belakang untuk ibadah," katanya yang akan pulang ke tanah air pada 28 Jun ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Ahmad bersama isteri dan rakannya tiba di Madinah, Arab Saudi pada 19 April lalu.

Mereka melakukan Kayuhan Haji 2024 dengan melengkapkan perjalanan 150 hari merentasi tujuh negara iaitu Malaysia, Thailand, India, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran dan Arab Saudi.

Malah, ketibaan di Madinah itu lebih awal daripada jangkaan asal.

-myMetro 

0 comments:

Catat Ulasan