Ahad, 9 Jun 2024

'Mungkin ada pihak lebih tinggi terbabit isu rasuah daftar nikah di Perlis'

 LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

Parit: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan terdapat peringkat lebih tinggi terbabit kes penerimaan suapan lebih RM1 juta dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak 2022 sehingga tahun lalu.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini beliau belum dapat memberi kepastian sama ada penahanan tiga individu termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) akan membawa kepada lebih penangkapan.

"Setakat ini (hanya) membabitkan ketiga-tiga mereka. Namun saya tidak tolak kemungkinan ada peringkat lebih tinggi lagi terbabit.

"(Namun) Pegawai penyiasat memaklumkan mereka sudah memohon untuk membekukan akaun ketiga-tiga mereka yang terbabit dalam menyalurkan wang kepada suspek utama dalam kes ini.

"Di sini yang pentingnya kita nak tahu ke mana wang itu pergi dan siapa lagi yang terbabit dalam skandal atau sindiket untuk mendaftarkan mereka yang sudah berpoligami di Thailand dengan cara tidak betul.

"Kita nak tahu yang berlaku kepada wang yang masuk ke akaun mereka, ke mana sudah dibelanjakan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Debat Antirasuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 ke-5 di Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UTP, Datuk Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Timbalan Pengerusi Majlis Universiti Debat Malaysia (Madum), Profesor Dr Akmal Khuzairy Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari.

Ditanya sama ada kes itu turut wujud pembabitan orang tengah di sempadan atau 'transborder', Azam berkata di pihak SPRM tiada keperluan untuk siasatan mengenainya, sebaliknya yang penting adalah mengesan mereka yang terbabit.

"Dalam siasatan ini kami (SPRM) tiada keperluan untuk kita membuat penyiasatan mengapa mereka bernikah atau berpoligami di Thailand.

"... yang pentingnya pasangan yang terbabit apabila balik ke Malaysia terutama dalam kes ini di negeri Perlis, mereka mencari jalan mudah, iaitu melalui ejen jabatan agama untuk mendaftarkan pernikahan dengan cara tidak mengikut prosedur dengan bayaran wang rasuah," katanya.

Hari ini, media ini melaporkan, tempoh reman terhadap tiga suspek berusia 25 hingga 52 tahun berkenaan yang sepatutnya tamat hari ini sejak ditahan Rabu lalu, dilanjutkan selama tiga hari sehingga 12 Jun depan.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan selain pegawai kanan JAIPs yang juga suspek utama kes itu adalah imam masjid dan anak kepada imam masjid itu yang juga pemilik sebuah syarikat yang bertindak sebagai perunding dalam menguruskan urusan pernikahan di Perlis.

Mereka ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penerimaan suapan berjumlah RM1,183,140 dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak April 2022 sehingga Jun 2023.

-myMetro 

0 comments:

Catat Ulasan