Ibadah Korban: Niat Korban, Syarat Sah, Pembahagian Daging Korban
Ibadah Korban merupakan salah satu amalan sunat yang sangat dianjurkan dalam Islam. Ia dilakukan pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyriq.
Lazimnya, di Malaysia acara penyembelihan ternakan korban ini dilakukan di masjid, surau, padang awam, balai raya ataupun rumah persendirian.
Berikut adalah penjelasan mengenai niat korban, syarat sah, pembahagian daging korban dan info-info berkaitan berdasarkan sumber daripada JAKIM dan Mufti.
Maksud Ibadah Korban
Merujuk laman sesawang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ibadah korban bermaksud penyembelihan binatang ternakan tertentu pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Ibadah ini mengingatkan umat Islam akan ketaatan dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang bersedia mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS atas perintah Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW,
إِذَا دَخَلَتِ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا
Maksudnya: Apabila telah masuknya sepuluh (hari terawal Zulhijjah), dan salah seorang daripada kamu hendak melakukan ibadah korban maka janganlah dia memotong rambutnya serta kukunya.
Niat Korban
Mufti WP menjelaskan bahawa niat korban terhasil dengan dua cara iaitu:
1. Pemilik atau peserta korban berniat sendiri.
Peserta korban boleh berniat dalam beberapa keadaan:
- Ketika mengasingkan haiwan dari haiwan miliknya di kandang atau ketika akad jual beli. Maka dia berniat “Haiwan yang aku asingkan ini ialah untuk korban.” Atau “Haiwan aku beli ini ialah untuk korban.”
- Ketika dia menyembelih haiwan korbannya (sembelih sendiri).
- Ketika haiwan korban sedang disembelih (disembelih oleh wakil).
- Ketika bernazar dengan menentukan secara khusus haiwan miliknya yang akan dikorbankan.
2. Niat oleh wakil iaitu berlaku dalam dua keadaan:
- Peserta mewakilkan tukang sembelih berniat bagi pihaknya ketika sembelih.
- Peserta mewakilkan seseorang untuk berniat bagi pihaknya ketika wakilnya itu menyerahkan haiwan kepada tukang sembelih.
Hukum Melakukan Ibadah Korban
Berdasarkan penjelasan dalam laman sesawang Mufti WP, hukum melakukan ibadah korban ialah sunat muakkad dan sunat kifayah.
Sunat muakkad bermaksud sekiranya seseorang itu mempunyai lebihan harta dari keperluan dirinya dan keluarga yang ditanggungnya pada siang hari raya haji dan malamnya serta hari-hari tasyriq tetapi dia tidak melakukan korban maka hukumnya adalah makruh.
Sunat kifayah sekiranya isi rumah lebih dari seorang dan mereka adalah di bawah tanggungan wajib salah seorang dari mereka maka jika korban dilakukan oleh salah seorang dari mereka yang mukallaf maka gugur tuntutan dari yang lain dan gugur hukum makruhnya. Namun pahala korban hanya akan diperoleh oleh orang yang melakukan korban melainkan sekiranya dia meniatkan pahala untuk orang yang lain.
(Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 6/123)
Syarat Sah Berkorban
Syarat sah berkorban hendaklah melakukan dua perkara:
- Niat untuk taqarrub diri kepada Allah SWT. Waktu niat korban adalah semasa menyembelih atau semasa membeli ternakan korban.
- Memilih ternakan korban yang boleh dikongsi bahagian seperti unta, lembu dan kerbau jika ingin berkongsi tujuh orang. Manakala kambing atau biribiri dikhususkan untuk seorang yang mewakili satu bahagian.
Syarat Sah Haiwan Korban
Terdapat 4 syarat sah haiwan korban, iaitu:
- Haiwan ternakan sahaja
- Sihat dan bebas daripada sebarang penyakit
- Tidak cacat
- Minimum umur haiwan ternakan yang dibenarkan untuk korban.
Jenis Korban
- Korban nazar (wajib)
- Korban sunat
Status Hukum Daging Korban
Hukum berkaitan daging korban terbahagi kepada beberapa status seperti yang berikut:
- Haram memakan daging bagi orang yang melakukan korban nazar (wajib) dan juga ahli keluarga di bawah tanggungannya walaupun sedikit sebagaimana juga haram memberikan daging korban tersebut kepada orang bukan Islam.
- Hukum pemberian daging korban sunat kepada orang bukan Islam adalah haram menurut pandangan ulama mazhab Syafi’i.
- Bahagian atau anggota sembelihan korban tidak harus dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah melakukan sembelihan, kecuali bahagian atau anggota tersebut diberikan oleh individu yang melakukan korban.
- Sunat bagi individu yang melakukan korban sunat (tatawu’) memakan daging korbannya.
HUKUM MENYIMPAN DAGING KORBAN LEBIH DARI 3 HARI
- Pendapat Ali RA dan Ibn Umar RA: Tidak boleh menyimpan daging korban melebihi 3 hari.
- Pendapat Jumhur Ulama : Dibolehkan untuk menyimpan daging korban melebihi 3 hari dan hadis mengenai larangannya itu telah dimansuhkan.
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah:
Rasulullah SAW melarangnya kerana pada waktu itu telah berlakunya musim kelaparan dan tujuan larangan tersebut adalah untuk membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.
Larangan menyimpan daging lebih dari 3 hari adalah berdasarkan keadaan hidup yang sempit dan susah ketika itu. Kemudian hadis larangan tersebut telah dimansuhkan hukumnya kerana keadaan telah berubah kepada lebih baik.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM
0 comments:
Catat Ulasan