Jumaat, 21 Jun 2024

Euro 2024:Kane 'punca' penyokong England cedera

 Penyerang England, Harry Kane (tengah) bersama ahli keluarganya selepas aksi Euro 2024 menentang Denmark. - Foto AFP

Penyerang England, Harry Kane (tengah) bersama ahli keluarganya selepas aksi Euro 2024 menentang Denmark. - Foto AFP

FRANKFURT: Sekurang-kurangnya dua penyokong England memerlukan rawatan selepas meraikan jaringan pembukaan skuad Three Lions ketika menentang Denmark dalam Euro 2024.

Harry Kane meletakkan pasukan kendalian Gareth Southgate di depan pada minit ke-18 ketika mereka dilihat menguasai perlawanan itu.

Namun, gol penyamaan daripada Morten Hjulmand memastikan England gagal meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Serbia 1-0 dalam aksi pertama Kumpulan C, Isnin lalu.

Bagaimanapun beberapa penyokong England tidak dapat menyaksikan aksi penuh menentang Denmark kerana mereka dibawa ke hospital selepas meraikan jaringan Kane.

Penyokong England, Chad Thomas memaklumkan kepada SunSport bahawa dia mengalami kecederaan pada pergelangan kaki ketika meraikan jaringan pada minit ke-18 itu.

Dia turut memuat naik gambar berada dalam ambulans di laman media sosial dengan buku lali berbalut beserta kapsyen: "Kecederaan meraikan jaringan".

Namun peminat tegar Three Lions itu bernasib baik apabila mengesahkan dalam catatan di Facebook bahawa dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Dia menulis: "Berita baik, tiada apa-apa yang patah. Hanya €310 (kira-kira RM1,500) keluar dari poket".

Sementara itu, seorang lagi peminat pasukan England tampak tidak begitu bernasib baik.

Penyokong itu memuat naik video dirinya sedang menerima rawatan di dalam stadium yang kelihatan seperti buku lali bengkak teruk.

Dia menulis kapsyen: "Buku lali cedera semasa tugasan antarabangsa."

Mendakwa terjatuh dari tempat duduk semasa meraikan jaringan itu, dia kemudian menulis: "Terkoyak ligamen di buku lali saya."

England dilihat masih belum menunjukkan prestasi terbaik ketika perlawanan mereka menentang Serbia dan Denmark.

Namun, skuad itu menghuni kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul empat mata menjelang perlawanan terakhir menentang Slovenia, Rabu ini. - AGENSI

Related Posts:

  • Euro 2024: Senarai Empat Pasukan Mara Ke Separuh AkhirSumber Gambar: UEFA Saingan bola sepak eropah, Euro 2024 kini semakin menghampiri penghujungnya apabila empat pasukan telah mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir selepas mengatasi lawan masing-masing.Se… Read More
  • England mara ke separuh akhir Euro 2024 Trent Alexander-Arnold berjaya menjarinkan sepakan penentuan penalti yang membawa England ke separuh akhir Euro 2024. Foto: REUTERSDUSSELDORF (Jerman): England mara ke separuh akhir Euro 2024 apabila menewaskan Switzerl… Read More
  • Euro 2024:Kane 'punca' penyokong England cedera Penyerang England, Harry Kane (tengah) bersama ahli keluarganya selepas aksi Euro 2024 menentang Denmark. - Foto AFPFRANKFURT: Sekurang-kurangnya dua penyokong England memerlukan rawatan selepas meraikan jaringan pembuk… Read More
  • Watkins wira England ke final Euro 2024 Penyerang England, Harry Kane memeluk Ollie Watkins yang meledak gol kemenangan ketika menyingkirkan Belanda pada separuh akhir Euro 2024 di BVB Stadion, Dortmund sebentar tadi. – Foto REUTERSDORTMUND, Jerman: Ollie Wat… Read More
  • Gol lewat permainan bantu Sepanyol juara Euro 2024 PEMAIN Sepanyol meraikan kejayaan muncul juara Euro 2024 selepas menumbangkan England 2-1. FOTO AFPBerlin: Sepanyol mencipta kejayaan cemerlang dengan kemenangan 2-1 ke atas England dalam final Euro 2024 yang berlangsun… Read More

0 comments:

Catat Ulasan