Sabtu, 22 Jun 2024

Anwar bersubahat dengan Israel jika enggan batal penglibatan BlackRock dalam konsortium, kata Khairy

Bekas menteri itu berkata rancangan menjual saham kepada syarikat dimiliki pengurus dana AS BlackRock tidak masuk akal dari segi prinsip mahupun komersial.

Panelis yang berucap di forum 'Tolak BlackRock' di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor semalam.

Bekas menteri Khairy Jamaluddin mengetuai bantahan yang semakin lantang terhadap tindakan Putrajaya melibatkan sebuah syarikat milik pengurus dana kontroversi BlackRock dalam sebuah konsortium menguruskan lapangan terbang di Malaysia, dengan amaran kepada pentadbiran Anwar Ibrahim bahawa ia akan turut bersubahat dengan Israel dalam pembunuhan beramai-ramai di Gaza sekiranya meneruskan rancangan itu.

Berucap di forum menghimpunkan pemimpin masyarakat sivil, aktivis dan ahli politik, Khairy berkata tidak ada keperluan membawa masuk  Global Infrastructure Partners (GIP) milik BlackRock untuk menambah baik kualiti lapangan-lapangan terbang di Malaysia.

"Sekalipun anda mahu menarik pelabur, ada banyak dana ekuiti persendirian selain BlackRock.

"Jika urus niaga ini tidak dibatalkan oleh perdana menteri, pada asasnya ia bermakna kerajaan dan PM bersubahat dengan genosid yang berlaku di Gaza hari ini," katanya.

Khairy berkata lapangan terbang utama di negara jiran diuruskan oleh entiti tempatan.

"Di Singapura, Changi dikendalikan Singapura. Thailand dan Indonesia pun sama juga. Jadi ujian litmus untuk keperluan pun gagal," katanya pada forum "Tolak BlackRock" di Kuala Lumpur malam tadi.

Antara yang turut berucap di forum itu termasuk bekas menteri luar Saifuddin Abdullah, bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir, naib presiden Muda Siti Rahayu Baharin dan pengerusi gerakan global memboikot Israel BDS, Nazari Ismail.

Penceramah bergilir-gilir membidas rancangan itu, yang akan menyaksikan GIP membeli 30% kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan Malaysia Airports Holdings (MAHB) bersama-sama Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan diterajui Anwar.

Selain bantahan disebabkan peranan BlackRock memperkasakan ekonomi Israel dan pelaburannya yang meluas dalam industri senjata AS, pengkritik turut membangkitkan keuntungan bersih MAHB berjumlah RM543.2 juta tahun lepas, iaitu melebihi keuntungan tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19 melumpuhkan sektor penerbangan.

Semalam, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad turut mengulas kontroversi itu, dengan mengatakan adalah mencurigakan apabila saham syarikat yang melaporkan keuntungan dijual kepada firma asing.

BlackRock kerap menjadi sasaran bantahan penunjuk perasaan pro-Palestin di AS. 

Antara syarikat yang mempunyai kepentingan BlackRock termasuk McDonald's dan Starbucks, dua syarikat yang menerima tempias kempen global memboikot kepentingan Barat yang didakwa bersekongkol dengan regim Zionis.

BlackRock turut melabur dalam Lockheed Martin, di mana ia memegang kepentingan 7.4% dalam syarikat pembuat senjata itu yang berdepan tuduhan "bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai" kerana peranannya dalam membekalkan kelengkapan kepada tentera Israel.

Isu BlackRock dilihat antara cabaran utama Anwar sejak dilantik sebagai perdana menteri, di sebalik tuduhan beliau lebih mesra dengan Amerika Syarikat dan Israel berdasarkan kenyataan lampau, termasuk wawancaranya dengan Wall Street Journal pada 2012 yang memetiknya sebagai berkata akan "menyokong usaha mempertahankan keselamatan Israel".

Anwar bagaimanapun dilihat berusaha mengubah persepsi tersebut dengan pelbagai ucapan dan kenyataan yang mengkritik sokongan Washington terhadap Israel, di samping menghadiri pelbagai forum pemimpin dunia Islam sejurus selepas Israel melancarkan serangan besar-besaran di Gaza tahun lalu, yang sehingga kini membunuh sekurang-kurangnya 35,000 rakyat Palestin.

Khairy berkata sudah tiba masanya untuk perdana menteri mengambil "keputusan sukar" dan membuktikan beliau "cakap serupa bikin".

Tambah Khairy, dia yakin jemaah menteri tidak dimaklumkan dengan keputusan itu.

"Biasanya tiada keperluan untuk isu Khazanah dibawa ke Jemaah Menteri. Ia hanya diputuskan oleh Lembaga dan dimaklumkan kepada pengurusan Khazanah.

"Saya yakin jika benda ini dibawa ke Jemaah Menteri, menteri-menteri Umno takkan setuju. Mungkin terpaksa setuju sekarang kerana tren sudah berlepas," katanya ketika ditemui pemberita selepas forum tersebut.

'Dasar imbangan perlu berpandukan prinsip'

Terdahulu, Nazari dari BDS Malaysia menyeru Anwar dan penasihatnya mengkaji lebih lanjut gerakan boikot di AS, di mana BlackRock adalah salah satu sasaran.

"Mungkin dia (Anwar) keliru BlackRock dengan Hajarul Aswad," sindir Nazari merujuk kepada batu hitam di Kaabah.

Nazari berkata Ketua Pegawai Eksekutif BlackRock, Larry Fink, secara terbuka menyokong Israel dalam perang di Gaza.

Sementara itu, Saifuddin menolak andaian bahawa keputusan memasukkan GIP dalam konsortium lapangan terbang itu adalah sebahagian daripada langkah mengimbangi pengaruh AS dan China.

Katanya, dasar imbangan kerajaan sebelum ini berpandukan prinsip.

"Malaysia terkenal dengan polisi luar yang berprinsip. Ia bukan hanya tentang wang atau imbangan kuasa antara AS dan China. Nasib rakyat Palestin ialah mengenai prinsip. Saya bimbang jika kita teruskan dengan BlackRock, kita telah mengabaikan usaha bertahun-tahun oleh kerajaan sebelum ini dan ribuan rakyat Malaysia," kata bekas menteri luar itu.

-MalaysiaNow 

0 comments:

Catat Ulasan