KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa Kerajaan Madani tidak meneruskan penganjuran konsert artis Barat pro-Zionis Israel, Bruno Mars di Malaysia.
Ketuanya, Dato’ Ahmad Yahaya, berkata penganjuran konsert tersebut menggambarkan Malaysia tidak sensitif dengan isu Palestin, bahkan lebih membimbangkan boleh mengundang bala daripada Allah SWT.
“Pihak kami sentiasa konsisten dalam isu konsert artis dari luar negara yang datang membuat persembahan di negara ini.
“Saya juga berulangkali mohon agar kementerian yang bertanggungjawab untuk mengetatkan kriteria Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) bagi sebarang perlaksanaan program,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, isu ini juga adalah penting demi menjaga imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam serta memelihara budaya ketimuran.
“Malangnya, mutakhir ini kebanyakan artis yang dibawa masuk ke dalam negara tidak melalui tapisan yang teliti oleh pihak berwajib.
“Sebelum ini kita pernah membantah penganjuran konsert artis pro-lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ketika umat Islam berada di ambang menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak,” katanya.
Terdahulu, penyanyi berasal dari United Kingdom, Ed Sheeran yang dikatakan penyokong tegar komuniti LGBT membawa konsert jelajahnya ‘ − = ÷ ×’ atau ED The Mathematics Tour dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Februari lalu.
Justeru, Ahmad Yahaya menuntut ketegasan daripada pihak kerajaan bagi menangani isu ini.
“Seharusnya isu-isu sebegini tidak berbangkit lagi setelah bantahan demi bantahan dibuat. Persoalannya, apakah kerajaan atas nama Madani ini tidak lagi sensitif?” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa penyanyi tersebut diserang netizen selepas pengumuman dibuat oleh penganjur, Live Nation Malaysia menerusi platform Instagram untuk memaklumkan jualan tiket konsert berkenaan mula dibuka Jumaat depan.
Serangan itu ekoran pendirian Mars yang sebelum ini pernah menyuarakan rasa cintanya kepada Israel ketika mengadakan konsert di negara haram tersebut pada tahun lalu.
Difahamkan konsert tersebut dijadualkan berlangsung di Stadium Bukit Jalil pada 17 September nanti. – HARAKAHDAILY 22/6/2024
0 comments:
Catat Ulasan