Menteri tidak boleh pecat atau turunkan pangkat seseorang penjawat awam sesuka hati.
Dalam Perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan dinyatakan bahawa penjawat awam perlu diberi peluang untuk didengar sebelum dibuang kerja atau diturunkan pangkat, kecuali dalam kes jenayah, pendengaran tidak munasabah untuk dibuat, keselamatan negara, dan penahanan atau pengusiran negeri.
Datuk Ammar adalah seorang penjawat awam dalam perkhidmatan tertutup (close service) dalam agensi kerajaan di bawah menteri. Oleh yang demikian pemecatan atau penurunan pangkatnya adalah tertakluk di bawah peruntukan Perlembagaan ini.
Menteri kata kononnya Ketua Pengarah tidak perform. Namun alasan tidak perform ini adalah subjektif dan ia tidaklah termasuk dalam pengecualian hak untuk didengar dalam proses pemecatan atau penurunan pangkat penjawat awam.
Saya telah dimaklumkan bahawa tidak ada proses pendengaran dibuat ke atas Ketua Pengarah Pelancongan Datuk Ammar sebelum beliau diturun pangkat oleh Menteri Tiong King Sing. Datuk Ammar hanya diberi notis beberapa hari untuk mengosongkan jawatan.
Oleh itu penurunan pangkat Ketua Pengarah Pelancongan oleh Menteri Pelancongan kelmarin adalah tidak sah di sisi Undang-undang apabila Menteri tidak beri peluang kepada Ketua Pengarah haknya untuk didengar mengikut proses sepatutnya (due process) seperti termaktub dalam Perlembagaan sebelum beliau diturunkan pangkat.
Pagi tadi Ketua Setiausaha Negara (KSN) kata Menteri ada kuasa untuk melantik Ketua Pengarah Pelancongan di bawah Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481). Dalam Akta ini memang disebut Menteri berkuasa untuk melantik Ketua Pengarah, tetapi tidak ada disebut di mana-mana kuasa Menteri untuk memecat atau menurunkan pangkat Ketua Pengarah dalam Akta ini, lebih-lebih lagi tanpa proses sepatutnya mengikut Perlembagaan.
……………
Mengikut Perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan:
“(2) Tiada seorang pun anggota sesuatu perkhidmatan yang disebut terdahulu boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat tanpa diberi peluang yang munasabah untuk didengar:
Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai bagi hal yang berikut:
(a) jika seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu dibuang kerja atau diturunkan pangkat atas alasan kelakuan yang berkenaan dengannya suatu pertuduhan jenayah telah dibuktikan terhadap anggota itu; atau
(b) jika pihak berkuasa yang diberi kuasa untuk membuang kerja atau menurunkan pangkat seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu berpuas hati bahawa kerana sesuatu sebab, yang hendaklah direkodkan oleh pihak berkuasa itu secara bertulis, kehendak Fasal ini tidaklah semunasabahnya dapat dilaksanakan; atau
(c) jika Yang di-Pertuan Agong, atau, dalam hal seseorang anggota perkhidmatan awam sesuatu Negeri, raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu, berpuas hati bahawa demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya tidaklah suai manfaat kehendak Fasal ini dijalankan; atau
(d) jika apa-apa perintah tahanan, pengawasan, kediaman terhad, buang negeri atau pengusiran telah dibuat terhadap seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu, atau jika apa-apa bentuk sekatan atau pengawasan dengan bon atau selainnya telah dikenakan ke atas seseorang anggota yang sedemikian, di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, pencegahan jenayah, tahanan pencegahan, kediaman terhad, buang negeri, imigresen, atau perlindungan wanita dan gadis:
Dengan syarat selanjutnya bahawa bagi maksud Perkara ini, jika perkhidmatan seseorang anggota sesuatu perkhidmatan itu ditamatkan demi kepentingan awam di bawah mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa atau di bawah mana- mana peraturan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (2) Perkara 132, penamatan perkhidmatan itu tidaklah merupakan pembuangan kerja sama ada atau tidak keputusan untuk menamatkan perkhidmatan itu dikaitkan dengan salah laku atau pelaksanaan kewajipan dengan tidak memuaskan oleh anggota itu berhubung dengan jawatannya, atau akibat penamatan itu melibatkan unsur hukuman; dan proviso ini hendaklah disifatkan telah menjadi suatu bahagian integral Perkara ini mulai dari Hari Merdeka.
(3) Tanpa persetujuan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, tiada seorang pun anggota mana-mana perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (c), (f) atau (g) Fasal (1) Perkara 132 boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat atau menanggung apa-apa langkah tatatertib yang lain kerana apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan olehnya pada menjalankan sesuatu fungsi kehakiman yang diberikan kepadanya oleh undang-undang.”
……………
Menteri-menteri perlu baca Perlembagaan betul-betul. Jangan buat sesuka hati.
24 Februari 2024
Kredit research: Prof Datuk Dr Shamrahayu, pakar Perlembagaan
0 comments:
Catat Ulasan