Isnin, 19 Februari 2024

Kes Dd Chronicle: Kertas Siasatan Dirujuk Peguam Negara

 

KUALA LUMPUR - Polis telah selesai merakam keterangan pempengaruh media sosial, Dd Chronicle berhubung video parodinya didakwa mempersendakan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Dd Chronicle atau nama sebenarnya, Dediy Sulaeman Ra'e, 43, telah dipanggil ke Bukit Aman Khamis lalu.

"Rakaman percakapan suspek sudah diambil di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada jam 10.15 pagi, Khamis lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, kertas siasatan yang lengkap itu akan dirujuk kepada Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam (KUJAKA), Jabatan Peguam Negara, Putrajaya, pada Selasa.

"Setakat jam 8 pagi tadi, sebanyak 49 laporan polis diterima pihaknya terhadap Dd Chronicle di seluruh negara," katanya.

Katanya lagi, aduan tertinggi dicatatkan di Johor dengan 12 laporan, Pahang (lima) manakala masing-masing empat di ibu negara, Melaka, Perak dan Selangor dan masing-masing tiga di Sabah, Kelantan dan Kedah.

"Selain itu, masing-masing dua laporan di Negeri Sembilan dan Terengganu serta masing-masing satu di Perlis, Pulau Pinang dan Sarawak," katanya - SH


0 comments:

Catat Ulasan