Semalam Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengugut untuk menggantung Ahli Parlimen selama enam bulan selepas dia mengarah Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful untuk tidak mengucapkan apa yang Speaker Johari kata kononnya “hearsay” atau khabar angin.
Apa yang Speaker Johari Abdul buat ini tidak betul dan salah dari segi Undang-undang.
Pertama, Speaker tidak mempunyai kuasa untuk menggantung sesiapa selama lebih daripada 10 hari. Hanya Dewan yang boleh berbuat demikian dan memutuskan atas usul seorang Menteri.
Dalam Peraturan Mesyuarat disebut:
“44. (1) Pengerusi setelah menarik perhatian Majlis Mesyuarat atau Jawatankuasa kepada kelakuan seseorang ahli yang berdegil-degil menyebutkan perkara yang tidak ada kena-mengena dengan perkara mesyuarat atau berulang-ulang menyebutkan hujahnya sendiri atau hujah-hujah ahli lain dalam sesuatu perbahasan, boleh memerintahkan ahli itu suruh berhenti bercakap.
(2) Pengerusi hendaklah memerintah mana-mana ahli yang berkelakuan tidak senonoh atau melakukan perbuatan yang menghina Majlis Mesyuarat atau terus tidak mengendahkan kuasa Pengerusi keluar dari Majlis Mesyuarat bagi TEMPOH TIDAK MELEBIHI SEPULUH HARI dan ahli tersebut hendaklah dengan serta-merta keluar dari Majlis Mesyuarat. Sekiranya mesyuarat berakhir sebelum tamat tempoh sedemikian, maka baki tempoh itu hendaklah dibawa ke mesyuarat yang akan datang, melainkan jika Parlimen dibubarkan sebelumnya. Jika Pengerusi tidak menentukan tempoh ahli diminta keluar, tempoh tersebut hendaklah disifatkan sebagai selama dua hari termasuk hari kejadian berkenaan.
(3) Jika Pengerusi mendapati bahawa kuasa
di bawah perenggan (1) dan (2) tidak mencukupi, dia boleh memulakan prosedur untuk menggantung perkhidmatan seseorang ahli dengan menyebut nama ahli tersebut seperti berikut:
“Saya dengan ini menamakan Ahli Yang
Berhormat Tuan......................................”
Seorang Menteri hendaklah selepas itu bangun
dan mencadangkan dan seorang Menteri lain
menyokong suatu usul seperti berikut:
“Bahawa Majlis Mesyuarat dengan ini
memutuskan bahawa Tuan..............................
digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat ini sehingga (tarikh).”
Pengerusi hendaklah mengemukakan usul itu bagi diputuskan oleh Majlis Mesyuarat tanpa sebarang pindaan, penangguhan atau perbahasan.”
………………………………….
Pada tahun 2018, Lim Kit Siang pernah digantung selama enam bulan selepas diputuskan oleh Majlis Mesyuarat dan diusul oleh Menteri mengikut prosidur. Kuasa menggantung enam bulan ini adalah kuasa Majlis Mesyuarat bukannya kuasa Speaker.
Tiga hari lepas juga SPB YDP Agong bertitah memberi ‘greenlight’ untuk tindakan ‘banned’ kepada ahli Parlimen selama 14 hari (mengikut prosidur), jauh sekali enam bulan seperti yang Speaker kata semalam. Jika Speaker ingin gantung ahli Parlimen selama enam bulan dan fikir ini adalah atas kuasa dan keputusan dia, itu adalah salah di sisi Undang-undang dan Speaker ini tidak faham Undang-undang atau gila kuasa.
Kedua, dalam kes Wan Saiful yang Speaker kata “hearsay” atau khabar angin itu, Speaker jelas tidak faham undang-undang, terutamanya Undang-undang Bukti (Law of evidence).
Hearsay atau khabar angin yang orang kata, ialah apabila seseorang menceritakan kisah tentang apa yang orang lain beritahu dia. Sebagai contoh, jika Wan Saiful berkata bahawa dia diberitahu oleh Encik X bahawa ada orang cuba mendorong Encik X untuk menyokong PMX; ini adalah hearsay atau khabar angin.
Apa yang Wan Saiful kata dalam Dewan Rakyat semalam bukan hearsay atau khabar angin. Dia tidak mengulangi cerita orang lain. Dia bercerita tentang apa yang dia lalui sendiri.
Dia kata, dia menerima teks daripada beberapa orang yang mengajaknya berjumpa. Lalu dia bertemu mereka dan pada mesyuarat itu dia dipujuk untuk memberikan sokongan kepada PM dan sebagai balasan ada dorongan atau sogokan.
Ini bermaksud dia berada di sana secara peribadi. Dia terlibat secara langsung dan dia ada di situ. Dia menceritakan pengalaman peribadinya. Ini bukan hearsay atau khabar angin yang orang lain kata, ini dia sendiri kata sebab dia sendiri yang mengalami perkara itu.
Kepada Speaker Johari Abdul, bacalah Peraturan Mesyuarat itu betul-betul dan fahamilah undang-undang dan bidang kuasa kamu. Jangan jadi gila kuasa dan memalukan Dewan yang mulia. Perlu lebih adil dan seimbang dengan tugas dan amanah yang diberikan.
Salam,
29 Februari 2024
0 comments:
Catat Ulasan