Beras Import Tiga Kali Mahal
ARAU: Kesukaran mendapatkan bekalan beras tempatan di pasaran berlarutan sehingga pengguna terpaksa membeli beras import pada harga tiga kali ganda lebih tinggi menjadi faktor keperluan penetapan gred tunggal beras.
Harga beras import ketika ini bagi berat 10 kilogram (kg) adalah sekitar RM40 hingga RM42, iaitu perbezaan antara RM14 sehingga RM15 berbanding beras tempatan, RM26.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Dibuk Sdn. Bhd., Ezreen Muhaizi Marzukhi berkata, perbezaan harga beras tempatan dengan import menjadi terlalu tinggi selepas India menyekat eksport tahun lepas.
Menurutnya, keadaan bertambah buruk apabila beras tempatan terus diletak pada harga siling RM26 bagi berat 10kg tanpa ada perbincangan dengan pihak industri dan petani.
Beliau berkata, perbezaan harga beras tempatan dengan import sebelum India membuat sekatan hanya berlegar sekitar RM5 ke RM6, iaitu jika beras tempatan RM26, beras import RM32.
Jelasnya, itu adalah julat perbezaan harga yang ‘harmoni’ dan stabil untuk pemegang taruh dalam industri pada masa itu.
“Ia juga adalah julat harga yang tidak menggalakkan penipuan gred beras oleh pemborong yang tamak seperti berlaku ketika ini. Untuk mereka pada masa itu, nilai tersebut tidak sepadan dengan risiko dan kos-kos ‘gelap’ perlu dikeluarkan.
“Bagaimanapun, apabila perbezaan harga beras tempatan dan import mencecah sehingga RM14 ke RM15 di kedai, iaitu perbezaan tiga kali ganda daripada perbezaan harga ‘harmoni’, ia menjadi tidak terkawal kerana banyak pemborong sudah ‘merah mata.’
“Jadi, indeks perbezaan harga ‘harmoni’ perlu dikembalikan dan kerana itu juga dicadangkan harga beras tempatan atau beras gred tunggal tersebut diselaraskan kepada harga RM35 yang sesuai dengan harga beras import sekarang, iaitu sekitar RM40 ke RM42 bagi berat 10kg,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan, rakyat tiada pilihan apabila terpaksa membeli beras putih import (SSI) dengan harga lebih mahal berikutan sukar menemui beras putih tempatan (SST) dijual termasuk di pasaran Lembah Klang.
Menyedari perkara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kesukaran menemukan beras tempatan berlaku angkara kartel.
Menurutnya, ada pihak dalam industri beras atau kartel dipercayai cuba mengaut keuntungan daripada beras putih tempatan yang selama ini dijual pada harga RM26.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di pasar raya dan kedai di sini mendapati beras import sahaja memenuhi rak.
Gambar : BERAS import memenuhi pasar raya dan kedai berbanding beras tempatan yang terlalu sukar ditemui di sekitar Arau, Perlis, semalam.
Artikel Asal : https://www.utusan.com.my/berita/2024/02/beras-import-tiga-kali-mahal/
Sumber : Utusan Malaysia
.
Like & Follow Perlis Permai Untuk Berita Dan Info Semasa Negeri Perlis.
.
#PerlisPermai
#VisitPerlis
#TMP20242025
#PakatMaiPerlis
#PerlisDamaiDanMenawan
0 comments:
Catat Ulasan