Khamis, 11 Januari 2024

19 Januari, tarikh keramat “pengampunan” bagi Datuk Seri Najib?

 bebasnews.my

By Zaini Hassan
-11/01/2024

"Diandai jika Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan penuh maka tidaklah lagi timbul soal perkiraan baki. Najib akan dibebaskan sepenuhnya."
Najib Razak - Foto Wikipedia

DIFAHAMKAN tarikh di atas adalah tarikh mesyuarat Lembaga Pengampunan, yang juga membabitkan agenda pengampunan mantan Perdana Menteri ke-6 negara, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tarikh itu akan menentukan nasib beliau. Adakah beliau akan dibebaskan sepenuhnya, dibebaskan separuh atau terus berada dalam penjara.

Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah. Ini juga merupakan mesyuarat terakhir baginda sebelum Tuanku menamatkan tempoh pemerintahan.

Najib kini menghadapi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022.

Sehingga hari ini Najib sudah menjalani hukuman selama 1 tahun 4 bulan 18 hari. Jika diambil kira 12 tahun maka ada baki 10 tahun 6 bulan lagi.

Diandai jika Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan penuh maka tidaklah lagi timbul soal perkiraan baki. Najib akan dibebaskan sepenuhnya.

Namun jika baginda hanya menganugerahkan separuh daripada pengampunan itu, maka pengiraannya adalah lebih kurang begini:

12 tahun ditolak 6 tahun, ditolak 1 tahun 4 bulan yang sudah dijalani dan ditolak dengan kelakuan baik; jasa-jasa beliau dan lain-lain, maka baki hukuman Najib hanyalah sekitar 3 tahun sahaja.

Persoalannya adakah baki 3 tahun itu memerlukan Najib akan terus tinggal di Kajang?

Besar kemungkinan, antara “keistimewaan” yang bakal dianugerahkan kepada Najib ialah parol dan pemerhatian tahanan dalam rumah.

Dengar kata, Najib dijangka menghabiskan baki tahanan itu di dalam rumah sehinggalah habis tempoh parol, atau pembebasan bersyarat itu.

Bagaimanapun, saya beranggapan denda RM210 juta itu masih tetap perlu dibayar oleh Najib.

Itulah antara proses pengampunan yang saya difahamkan akan dianugerahkan kepada Najib.

Kita tunggulah apa keputusannya pada 19 Januari bersamaan hari Jumaat, minggu hadapan.

Bagaimanapun proses pengampunan itu adalah membabitkan kes SRC International.

Najib dalam masa yang sama masih menghadapi perbicaraan kes 1MDB.

Sekiranya kes itu juga didapati bersalah dan surat pengampunan dipersembahkan, maka Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dari Johorlah yang akan mendengar kes rayuan beliau itu kemudian.

Bagi kes 1MDB, Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib juga berdepan satu lagi kes pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada IPIC di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, yang kini masih di peringkat pengurusan kes.

— BebasNews

0 comments:

Catat Ulasan