Sabtu, 6 Januari 2024

Ketua jabatan kena kawal pinjaman penjawat awam - KPPA

 Foto hiasan.

Foto hiasan.

Kuala Lumpur: Ketua jabatan diarah memantau jumlah gaji penjawat awam bagi tujuan membayar hutang, selain tidak menyokong atau meluluskan permohonan pinjaman baharu sekiranya ia boleh menyebabkan pegawai awam berkenaan menerima pendapatan bersih kurang daripada 40 peratus.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed, berkata semua ketua jabatan juga perlu mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang didapati melakukan penipuan, termasuk ada yang memalsukan penyata gaji bagi tujuan mendapatkan pinjaman.

Beliau bimbang jika jumlah pinjaman diambil kakitangan awam tidak dipantau ia boleh menyebabkan mereka terjerumus dalam masalah hutang yang serius.

"Kerajaan mengawal permohonan pinjaman peribadi dengan menetapkan bahawa pemotongan yang dibuat menerusi Angkasa juga hendaklah dikemukakan kepada ketua jabatan terlebih dahulu untuk kelulusan.

"Kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap pegawai awam supaya tidak terjerumus dalam hutang kewangan yang serius kerana keadaan itu boleh menyebabkan pegawai terbabit dengan perlakuan rasuah," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian mengulas amalan berhutang dalam kalangan penjawat awam hingga menyebabkan ada antara mereka yang dikatakan membawa pulang pendapatan bersih yang kecil bagi menyara kehidupan keluarga sepanjang bulan susulan beban hutang yang tinggi.

Satu kes yang dirujuk berdepan masalah hutang serius itu membabitkan pasangan penjawat awam yang mempunyai tiga anak, dengan isteri bekerja sebagai guru Gred 41, manakala suami anggota polis berpangkat konstabel. Pasangan itu dilaporkan mempunyai dua kereta iaitu Proton X70 dan Perodua Bezza.

Susulan masalah hutang dan pinjaman yang ditanggung kedua-duanya, baki gaji bulanan guru berkenaan adalah RM400, manakala suaminya hanya tinggal RM150.

Malah, ada laporan sebelum ini mendedahkan kumpulan penjawat awam berhadapan masalah hutang yang serius dan terjebak dengan pinjaman along.

Patuhi peraturan ditetap

Mengulas lanjut, Zulkapli berkata, kerajaan menetapkan peraturan yang perlu dipatuhi oleh semua pegawai awam menerusi subperaturan 13(1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) [P.U. (A) 395/1993] yang memperuntukkan mereka tidak boleh dengan apa-apa cara menyebabkan diri berada dalam keterhutangan kewangan yang serius.

Katanya, subperaturan 13(7) P.U. (A) 395/1993 menjelaskan keterhutangan kewangan yang serius bermaksud keadaan hutan seseorang pegawai yang setelah diambil kira amaun hutang yang ditanggungnya, sebenarnya menyebabkan kesusahan kewangan yang serius kepadanya.

Selaras dengan subperenggan 13(8)(a) P.U. (A) 395/1993, seseorang pegawai awam dikatakan berada dalam keterhutangan kewangan yang serius apabila jumlah hutang yang tidak bercagar adalah melebihi 10 kali emolumen bulanannya.

Ini bermaksud baki gaji akhir adalah kurang daripada 40 peratus. Oleh yang demikian pegawai awam hanya dibenarkan berhutang 60 peratus daripada emolumen dan mempunyai baki gaji sekurang-kurangnya 40 peratus.

Turut menjadi panduan adalah Surat Edaran JPA bertarikh 24 Januari 2017 dengan nombor rujukan JPA.BK(S)328/2 Jld.13(9) berkaitan Pemantauan Ke Atas Pegawai Yang Berada Dalam Keterhutangan Kewangan Yang Serius," katanya.

Zulkapli berkata, walau apapun, subperaturan 13(3) P.U. (A) 395/1993 memperuntukkan jika keterhutangan kewangan yang serius sudah berlaku akibat malang yang tidak dapat dielakkan, kerajaan boleh memberi pegawai itu apa-apa bantuan sebagaimana yang wajar mengikut hal keadaan.

Katanya, dalam hal ini, ketua jabatan boleh merujuk pegawai terbabit kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan bantuan bagi menguruskan hutang.

"Bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai pengurusan kewangan yang berhemah, kerajaan juga mengadakan kursus literasi kewangan peribadi kepada semua pegawai awam.

"Ia dilakukan menerusi pusat latihan seperti Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan pelaksanaan kursus secara in house (dalaman) yang dilaksanakan menggunakan peruntukan latihan yang dirangka di bawah pelan operasi latihan (POL) kementerian dan jabatan masing-masing," katanya.

-BH Online 

0 comments:

Catat Ulasan