Selasa, 8 Mac 2022

Zahid berani sumpah laknat, tapi BN, UMNO takut pula ikrar tolak rasuah

 

Bayangkan jika semua calon BN/UMNO mengangkat sumpah ikrar menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa di hadapan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak yang sekarang ini berdepan puluhan tuduhan jenayah, termasuk rasuah dan penyelewengan. - Gambar FB Zahid Hamidi

Kenapa Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, takut mengarahkan semua 56 calon parti berkenaan yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sedangkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tunjuk berani untuk sumpah laknat?

Sebelum ini, Zahid menafikan pernah berjumpa Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjadi Perdana Menteri untuk meminta tolong dilepaskan daripada tuduhan mahkamah.

“Bagi membuktikan kebenaran ini, saya sanggup dan bersedia untuk melakukan sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan jahat TSMY ke atas saya,” kata Zahid.

Zahid kini berdepan dengan 87 pertuduhan, termasuk membabitkan jenayah rasuah yang melibatkan jutaan ringgit, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam. Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Zahid telah diperintah membela diri atas 47 pertuduhan.

Sementara, Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Najib Razak pula telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes SRC International.

Mahkamah Rayuan juga telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu setelah menolak rayuan Najib.

Kedua-duanya berdepan puluhan tuduhan jenayah rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan berbilion-bilion ringgit yang dilakukan ketika mereka menjadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri ketika BN memerintah sebelum 2018.

Dan, bayangkan juga sekiranya semua 56 calon BN/UMNO itu mengangkat sumpah ikrar menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa, di hadapan Zahid serta Najib.

Persoalan itu turut dibangkitkan Ketua Bahagian Bersatu Maran, Datuk Jasri Jamaludin yang menekankan bahawa semua calon parti politik yang bertanding pada PRN Johor kali ini seharusnya berani menandatangani ikrar integriti dan bebas rasuah seperti dilaksanakan PN.

“Hanya PN berani mengarahkan semua 56 calonnya pada PRN Johor menandatangani ikrar integriti dan bebas rasuah manakala parti lain termasuk BN dan Pakatan Harapan (PH) mahu pun PKR masih belum berbuat demikian.

“Bayangkan bagaimana calon BN mahu menandatangani ikrar itu disaksikan oleh Zahidi dan Najib, yang terbabit dengan pelbagai kes di mahkamah.

“Jadi, rakyat khususnya di Johor kena faham, PRN berkenaan diadakan iaitu tidak lain tidak bukan kerajaan BN/UMNO mahu kembali berkuasa dan mahu membebaskan pemimpin mereka terutamanya yang sudah didapati bersalah oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasri berkata, keputusan terbaik harus dibuat rakyat Johor dengan mengundi calon PN yang sudah menandatangani ikrar integriti dan bebas rasuah.

Katanya, ia penting bagi memastikan masa depan anak cucu pengundi dan bangsa Johor lebih terjamin dan bebas daripada amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa daripada berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri itu.

“Kalau pemimpin atasan terbabit dengan rasuah maka orang bawahan dan pemimpin akar umbi turut akan terpalit seperti kata pepatah Melayu ‘macam mana ketam mahu mengajar anaknya berjalan lurus tetapi ia sendiri mengikut laluan salah’,” katanya.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan BN akan mengadakan satu lagi PRN di Perak jika mereka meraih kemenangan bergaya di Johor, pada 12 Mac nanti.

“Saya juga melihat kemenangan PRN Johor akan menjadi sebab kukuh untuk BN/UMNO mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekali gus membolehkan mereka kembali berkuasa penuh di Putrajaya dan membebaskan Kluster Mahkamah dari kes masing-masing,” dakwanya.

-Agenda Daily

0 comments:

Catat Ulasan