ALOR SETAR: Langkawi dijangka mencatatkan kedatangan seramai 2.5 juta pelancong apabila sempadan negara dibuka bermula pada 1 April ini sekali gus menjana pendapatan sehingga RM900 juta sepanjang tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, sasaran itu realistik ekoran sempadan buat pertama kali dibuka sejak Mac 2020.
“Ini adalah sasaran yang dibuat oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan LTA dengan pembukaan pintu sempadan yang membolehkan lebih ramai pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand datang ke Langkawi termasuk dari Asia Barat. Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana membuat keputusan membuka pintu sempadan yang dilihat mampu menyemarakkan pelancongan Langkawi,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, pembukaan sempadan juga dijangka memulihkan semula ekonomi penduduk Langkawi yang bergantung kepada industri pelancongan.
“Kita berharap ekonomi Langkawi akan pulih. Pendapatan yang diraih pada 2020 dan 2021 iaitu sepanjang pandemik cuma sekitar RM763 juta sahaja berbanding RM1.7 bilion pada 2019 di mana Langkawi mencatatkan kedatangan lebih 3.67 juta kedatangan pelancong. LTA percaya pelancong dari negara jiran seperti Singapura teruja untuk ke Langkawi kerana aktiviti ekopelancongan dan pelancongan sukan. Sementara pelancong dari Indonesia pula dengan pelancongan kesihatan,” katanya.
Jelasnya, penggiat pelancongan di Langkawi juga kini sudah membuat pelbagai persiapan untuk menerima kedatangan pelancong berskala besar seperti itu.
“Apa gelembung pelancongan bermula semua sektor pelancongan di Langkawi sudah diaktifkan. Jadi kami semua sudah bersedia namun begitu kita berharap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memberi jaminan Langkawi tidak akan menjadi tempat penularan pandemik ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia & Sukan dan Pembangunan Usahawan & Koperasi negeri, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, kerajaan negeri menyambut baik mengenai pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April ini kerana dapat merancakkan semula aktiviti pelancongan dalam dan luar negara.
“Pelancong masih perlu memuat turun aplikasi MySejahtera serta lengkap vaksinasi walaupun tiada keperluan untuk menjalani kuarantin. Mereka hanya perlu menjalani Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR ) dua hari sebelum berlepas serta Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan,” katanya.
Tambahnya, bagi negara yang masih menutup sempadan, rakyat masih boleh menggunakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) bagi Malaysia dan negara terbabit iaitu Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia. – UTUSAN
0 comments:
Catat Ulasan