Selasa, 8 Mac 2022

Kes Rasuah: 'Pembelaan Rosmah penafian kosong semata-mata' - Pendakwa

 Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR: Pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap tiga tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak, adalah penafian kosong semata-mata dan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah, demikian ditegaskan pihak pendakwaan.

Pendakwaan menerusi hujahan bertulisnya di akhir kes pembelaan, berhujah isteri bekas perdana menteri itu dalam pembelaannya, mendakwa beliau adalah mangsa konspirasi yang menyebabkannya menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Menurut pendakwaan, Rosmah menafikan dakwaan bahawa beliau mengarahkan bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, untuk meminta rasuah bagi dirinya.

"Persoalannya, adakah Rizal mempunyai kedudukan yang cukup besar dari segi politik untuk membuat tuntutan itu bagi dirinya sendiri.

"Memandangkan tertuduh mempunyai kedudukan yang tinggi dan berdasarkan fakta bahawa dalam kata-katanya sendiri bahawa dia "tidur dengan PM", adalah sangat tidak mungkin Rizal membuat tuntutan untuk dirinya sendiri.

"Kedua, tertuduh mendakwa bahawa Rizal menggunakan namanya untuk meminta rasuah, tetapi dilihat kepada keseluruhan keadaan, termasuk risiko terhadapnya (Rizal), adalah sangat tidak mungkin Rizal menggunakan nama tertuduh semata-mata bagi dirinya.

"Ketiga, fakta bahawa tertuduh menggunakan Rizal untuk meminta rasuah adalah konsisten dengan modus operandinya. Tertuduh boleh sahaja pergi ke balai polis dan membuat laporan," kata pendakwaan.

Pihak pendakwaan memfailkan hujahan bertulis itu minggu lalu melalui e-filing dan pembelaan pula sebelum ini diarah membalas hujahan mereka pada 30 Mac, sebelum ia didengar di Mahkamah Tinggi pada 5 April ini. Dokumen itu dilihat media hari ini.

Sementara itu pendakwaan berkata, Rosmah ketika disoal balas, menyatakan bahawa beliau bukanlah seseorang yang bodoh, dan ia (pendakwaan) bersetuju dengannya kerana beliau bukannya bodoh apabila menggunakan Rizal untuk mendapatkan rasuah.

Menurut pendakwaan, Rosmah terlalu bijak dan licik untuk membuat tuntutan itu bagi dirinya sendiri dan atas sebab itu, ia (pendakwaan) menyatakan bahawa kenyataan pembelaan Rosmah tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap keterangan saksi iaitu Rizal, Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin dan rakan kongsi Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah

Pendakwaan menegaskan , pembelaan Rosmah gagal untuk menangkis anggapan niat rasuah melalui imbangan kebarangkalian.

"Kes pembelaan adalah, tertuduh mangsa konspirasi yang menyebabkan dia didakwa dan pelaku sebenar ialah Rizal, Saidi dan Rayyan dan beberapa saksi pendakwaan lain yang memberi keterangan terhadapnya.

"Kenyataan saksi tertuduh dan keterangannya ketika disoal balas pula terdiri daripada serangan ke atas Timbalan Pendakwa Raya yang mengetuai pendakwaan (Datuk Seri Gopal Sri Ram) dan ke atas saksi pendakwaan, yang secara asasnya gagal sama sekali.

"Adalah dihujahkan pada peringkat ini pihak pembelaan tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan gagal untuk menangkis anggapan niat rasuah," kata pendakwaan.

Berhubung isu motif, pendakwaan berhujah dengan menimbulkan persoalan mengapa Rizal, Saidi dan Rayyan berpakat untuk "mengenakan" tertuduh seperti yang didakwa olehnya (Rosmah), yang turut mendakwa bahawa kesemua saksi adalah pesalah dan mereka berbuat demikian untuk melepaskan diri daripada kesalahan mereka.

Pendakwaan berkata, jika dilihat kepada keadaan secara keseluruhannya, versi tertuduh adalah tidak masuk akal kerana tiada sebab bagi Saidi dan Rayyan mengada-adakan kes terhadap tertuduh, yang mana ia boleh dilihat melalui bukti cara kutipan RM 1.5 juta daripada bank dan kemudian diserahkan kepada tertuduh.

Katanya, apa yang berlaku melalui kejadian itu seperti dijelaskan oleh Saidi, menangkis tanggapan bahawa saksi itu mereka-reka cerita untuk mengaitkan tertuduh.

"Oleh itu pihak pendakwaan dengan ini menyatakan bahawa tuduhan meminta rasuah sudah berjaya dibuktikan dan untuk diputuskan oleh mahkamah tanpa sebarang keraguan munasabah," kata pendakwaan.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini antara Mac dan April 2016.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

Kesemua kes itu diperintahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan perbicaraan bermula pada 5 Februari 2020.

Pada 18 Februari 2021, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah untuk membela diri atas kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

-BH Online

0 comments:

Catat Ulasan