Selasa, 29 Mac 2022

‘Malu Apa Bossku’ ibarat ‘senjata biokimia’, dakwa taikun

 

Slogan ‘Malu Apa Bossku’ yang digunakan bekas Perdana Menteri Najib Razak seperti ‘senjata biokimia’ selain menggambarkan ia sebagai ‘virus korona menjangkiti minda anak muda dan orang tua’, kata Lee Kim Yew. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Taikun, Lee Kim Yew, sekali lagi mengkritik slogan “Malu Apa Bossku” yang digunakan penyokong bekas Perdana Menteri Najib Razak, sambil menyifatkan ia ibarat “senjata biokimia”.

Dalam surat keduanya kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh, Lee berkata slogan berkenaan adalah “penghinaan” kepada masyarakat. Beliau juga memuat naik suratnya itu dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Kandungan surat itu antara lain berkata, kempen “Malu Apa Bossku” seperti “senjata biokimia” selain menggambarkan ia sebagai “virus korona menjangkiti minda anak muda dan orang tua”.

Sebelum pilihan raya negeri (PRN) Johor awal bulan ini, Lee yang berkempen bersama Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata, slogan “Malu Apa Bossku” adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan menggesa SPR menghentikan penggunaanya.

Lee turut mempersoalkan bagaimana Najib masih dibenarkan berkempen di PRN Johor walaupun sudah disabit bersalah dalam kes SRC International. Najib ketika ini sedang merayu bagi membatalkan sabitan itu.

“Rasa malu adalah elemen asas dalam moral kita, namun bagi yang tidak ada rasa malu ia adalah penghinaan paling teruk yang mencemarkan kepercayaan manusia,” kata Pengerusi Eksekutif Country Heights dalam kenyataan di laman media sosial itu.

“Tindakan mempromosikan kempen ‘Malu Apa Bossku’ atau menguar-uarkan secara terbuka adalah satu bentuk penghinaan kepada masyarakat kita.”

Lee menyarankan masyarakat menentang “Malu Apa Bossku”, selain berkata, beliau sudah mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja membabitkan perkara itu.-FMT

0 comments:

Catat Ulasan