Ahad, 6 Mac 2022

Covid19:Kes naik lagi, rekod baharu pecah tiga hari berturut-turut

 

Rekod baharu jumlah jangkitan harian Covid-19 pada 5 Mac 2022.

Rekod baharu jangkitan harian Covid-19 sekali lagi tertulis dalam carta negara pada Sabtu (5 Mac 2022), tatkala sehingga Jumaat lalu sebanyak 63.5 peratus individu dewasa menerima vaksin penggalak dan 97.4 peratus lagi telah lengkap divaksinasi.

Statistik laman sesawang CovidNOW kendalian Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini awal pagi tadi menunjukkan, dalam tempoh 24 jam semalam, 33,406 jangkitan baharu dilaporkan di seluruh negara, berbanding 33,209 kes pada Jumaat.

Jumlah kes harian semalam mencatat rekod baharu tiga hari berturut-turut setelah sebanyak 32,467 kes direkodkan pada Khamis, 3 Mac 2022.

Namun, bagi KKM lonjakan kes sekarang ini dianggap tidak seteruk ketika kemuncak penularan varian Delta pada Julai dan Ogos 2021 yang merekodkan jangkitan harian tertinggi sebanyak 24,599 kes pada 26 Ogos.

Peningkatan jangkitan harian semalam menjadikan kumulatif positif sejak wabak Covid-19 menular di negara ini awal 2020 lalu sebanyak 3,595,172 kes, keempat tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN setelah Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Seramai 27,143 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh semalam, menjadikan kumulatif pulih sebanyak 3,250,793 kes, dan 311,206 kes masih aktif, meningkat berbanding 305,010 kes pada Jumaat. Dalam tempoh itu juga negara merekodkan 33,173 kes kematian akibat komplikasi Covid-19.

Daripada jumlah kes aktif itu pula 298,532 pesakit menjalani kuarantin di rumah (292,696 pada Jumaat); dan 3,588 pesakit ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC), meningkat berbanding 3,442 pada Jumaat.

Manakala seramai 8,715 pesakit dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut, meningkat berbanding 8,524 pada Jumaat; 8,322 (Khamis); 8,182 (Rabu); dan 7,542 (Selasa).

Sehingga semalam, seramai 371 pesakit terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), meningkat berbanding 348 pesakit pada Jumaat. Jumlah itu termasuk 226 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan, naik berbanding 211 pada Jumaat.

Sementara itu, tujuh negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan jangkitan harian semalam, dengan Selangor kekal mencatat kes tertinggi sebanyak 9,651 kes berbanding 8,897 pada Jumaat.

Setakat ini Selangor merekodkan kumulatif positif sebanyak 988,698 kes dan tidak mustahil jumlah itu akan mencecah sejuta kes dua hari lagi jika trend peningkatan jangkitan harian seperti sekarang berterusan.

Johor yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac ini pula mencatat 2,713 kes baharu semalam, berbanding 2,359 kes pada Jumaat, dan Pulau Pinang (2,621 kes baharu, 2,592 Jumaat).

Pahang pula merekodkan 1,619 kes baharu, berbanding 1,535 pada Jumaat; Sarawak (1,455 kes baharu, 1,333 Jumaat); Melaka (931 kes baharu, 741 Jumaat); dan Labuan (267 kes baharu, 266 Jumaat).

Berdasarkan taburan kes mengikut kumpulan umur minggu ini bagi seluruh negara, sebanyak 27.3 peratus melibatkan individu berusia 18 hingga 29 tahun; 23.5 peratus (30-39 tahun); 13.6 peratus (40-49 tahun); dan 8.9 peratus (50-59 tahun).

Manakala 7.1 peratus membabitkan kategori umur 5 hingga 11 tahun; 5.9 peratus (60-69 tahun); 5.6 peratus (0-4 tahun); 4.8 peratus (12-17 tahun); 2.5 peratus (70-79 tahun); dan 0.9 peratus (80 tahun dan ke atas).

Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 5 Mac 2022.

-Agenda Daily

0 comments:

Catat Ulasan