Ahad, 6 Mac 2022

Berkayak Menelusuri Terowong Di Terusan Kampung Wai,Kuala Perlis

KAMPUNG Wai, Kuala Perlis yang jaraknya sekitar tiga kilometer dari pekan Kuala Perlis hanyalah sebuah perkampungan biasa yang terletak paling hujung negeri ini dan bersempadanan dengan Thailand.

Di situ, terdapat sebuah terusan yang menghubungkan sehingga empangan Timah Tasoh sejauh 22 kilometer. Termasuk melalui sebuah terowong sepanjang 765 meter di Bukit Tebing Tinggi, Bintong di sini.

Sebelum ini, kawasan terusan tersebut agak terpencil. Namun di sebalik itu lokasi berkenaan sebenarnya mempunyai keindahan yang cukup memukau. Airnya yang kehijauan dan kebiruan selain panorama sekitarnya yang menyajikan keindahan bukit batu kapur berusia lebih 500 juta tahun dan sawah padi.

Ramai yang tidak menyedari keindahan kawasan berkenaan sebelum ini yang mempunyai potensi cukup besar sebagai salah satu lokasi tarikan pelancongan di negeri ini.

Dalam usaha menghidupkan kawasan berkenaan, lima anak muda dari Kayak Dahagi Perlis mengambil inisiatif memperkenalkan aktiviti kayak menelusuri terowong di terusan Kampung Wai, Kuala Perlis sehingga Kampung Tebing Tinggi, Bintong sejauh 765 meter itu.

Lima rakan baik tersebut iaitu Aniq Izanif Mahar Effendi, 36, Taqril Tahir, 42, Mohd. Azrif Md. Amin, 29, Amir Aziz, 45 dan Mohd. Nadzri Mohd. Radzi, 42, memperkenalkan aktiviti tersebut sejak tahun lalu, sekali gus membantu menghidupkan kawasan berkenaan sebagai salah satu tarikan pelancongan baharu di Perlis.

Istimewanya, aktiviti kayak menelusuri terowong sambil menikmati keindahan panorama seperti bukit batu kapur dan sawah padi di kawasan itu adalah yang pertama di Malaysia.

𝗠𝗲𝗻𝗲𝗹𝘂𝘀𝘂𝗿𝗶 𝘁𝗲𝗿𝗼𝘄𝗼𝗻𝗴

Aniq Izanif berkata, pihaknya menyediakan sebanyak 15 kayak bagi pengunjung menyertai trip menelusuri terowong di terusan berkenaan.

Katanya, sepanjang diperkenalkan, aktiviti tersebut mendapat sambutan cukup memberangsangkan khususnya membabitkan pengunjung dari luar negeri ini.

Ujarnya, sebelum ini, terusan Kampung Wai agak terpencil sebelum mereka mengambil inisiatif membantu menghidupkan kawasan berkenaan dengan aktiviti kayak sekali gus menjadi tarikan baharu pelancongan.

𝗠𝗲𝗻𝗶𝗸𝗺𝗮𝘁𝗶 𝗸𝗲𝗶𝗻𝗱𝗮𝗵𝗮𝗻

“Kita akan membawa pengunjung menelusuri terowong air terpanjang di Malaysia sejauh 765 meter dari terusan Kampung Wai sehingga Kampung Tebing Tinggi.

“Sepanjang laluan terusan tersebut, pengunjung akan menikmati keindahan airnya yang kehijauan dan kebiruan selain panorama indah bukit batu kapur berusia lebih 500 juta tahun dan sawah padi.

“Terusan ini sangat indah dan cantik, namun sebelum ini, tidak ada yang tahu termasuk penduduk negeri ini sendiri. Aktiviti kayak menelusuri terowong di terusan ini adalah yang pertama di Malaysia dengan menjanjikan 1,001 pengalaman baharu cukup berharga,” katanya.

Tambahnya, bayaran yang dikenakan adalah serendah RM80 bagi satu trip untuk seorang selama empat jam menelusuri terusan berkenaan. Peserta turut diberikan sijil penyertaan, sarapan pagi serta makan tengahari.

“Kita juga sediakan guide secara percuma kepada para pengunjung dengan minimum dua kayak dan maksimum sebanyak lima kayak bagi trip tersebut,” katanya.

𝗧𝗮𝗿𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗯𝗮𝗵𝗮𝗿𝘂

Tambahnya, fokus utama mereka memperkenalkan aktiviti tersebut adalah untuk menjadikan sukan berkayak sebagai satu tarikan pelancongan baharu di negeri ini selain keunikan terowong yang terpanjang itu merupakan satu-satunya di Malaysia sekali gus mampu menjadi tarikan pengunjung.

“Selain itu, tidak ramai yang berpeluang untuk memiliki kayak sendiri kerana harganya sehingga RM1,800 setiap satu. Namun kami memberi khidmat dan bimbingan untuk aktiviti berkayak ini. Kemahiran berkayak dapat dipelajari oleh peserta yang menyertai sukan itu dengan kami akan memberikan tunjuk ajar sehingga dapat menguasai teknik dengan betul.

“Kayak menelusuri sungai ini juga dapat memberikan kesedaran betapa pentingnya menjaga alam sekitar, terutamanya sungai sebagai sumber air,” katanya.

Rakannya, Taqril pula berharap kerajaan dapat membantu menyediakan stor menyimpan kayak, lampu di sepanjang terowong berkenaan selain kemudahan tandas awam memandangkan lokasi tersebut berpontensi besar menjadi salah satu lokasi baharu tarikan pelancongan.

“Tempat ini sangat cantik yang boleh dijadikan tarikan pelancong. Sebelum ini, orang Perlis sendiri tidak tahu, padahal ia sangat cantik. Jadi kita ingin hidupkan lokasi ini sebagai salah satu kawasan eko pelancongan,” katanya.

Seorang pengunjung yang datang dari Pulau Pinang, Adela Nazirah Alias,30, berkata, berkayak menelusuri terowong di terusan berkenaan merupakan pengalaman baharu buat dirinya.

“Sambil berkayak, saya dapat nikmati pemandangan cantik. Suasannya dalam terowong sangat nyaman. Airnya kehijau-hijauan. Saya lihat kawasan ini mampu menjadi antara lokasi tarikan pelancong selepas ini,” katanya. 


Gambar : PENGUNJUNG menikmati pemandangan indah sambil menelusuri terowong di terusan Kampung Wai, Kuala Perlis sehingga Kampung Tebing Tinggi, Bintong sejauh 765 meter di Terusan Kampung Wai, Kuala Perlis.

Artikel Asal : https://bit.ly/3Mm215U

Sumber : Utusan Malaysia

#PerlisPermai💛💙 #KampungWai #KualaPerlis

0 comments:

Catat Ulasan