Kuala Lumpur: Dua ikan jenis Malaysian Goldfish Arowana yang bercantum pada bahagian perut sejak lahir atau 'kembar siam' menjadi tumpuan ramai di media sosial.
Mana tidaknya, kedudukan kedua ekor ikan dalam keadaan terbalik menambahkan lagi rasa ingin tahu warganet berkenaan penjagaan serta pemakanan ikan berkenaan.
Pemiliknya, Arham Aziz, 34, berkata, dia baru sahaja membeli ikan kembar siam itu daripada rakannya kira-kira sebulan lalu pada harga RM2,000.
"Awalnya, kawan (pemilik asal) memang tak nak jualkan ikan kembar siam itu kepada saya. Ambil masa lama juga untuk pujuk dia (sebelum dijual).
"Saya sendiri faham kalau kita jumpa di pasaran luar pun memang susah untuk orang lepaskan kerana ikan ini lain daripada lain.
"Ada juga yang (sudah) menghubungi saya untuk membeli ikan kembar ini namun saya beritahu mereka ia bukan untuk dijual," katanya.
Bercerita lanjut mengenai pasangan kembar siam itu, Arham berkata, ikan peliharaannya itu diletakkan dalam akuarium kecil bagi memudahkan ia makan seperti biasa kerana tidak dapat berenang dengan laju seperti ikan lain.
"Cara penjagaan dia pun sama sahaja seperti ikan lain. Namun, ikan kembar ini tak boleh diletakkan dalam air yang terlalu tinggi kerana susah untuk dia berenang.
"Sebab itu juga, saya letakkan dia di akuarium yang lebih kecil untuk dia senang cari makan dan tak penat untuk mengejar makanan dia.
"Bagaimanapun, daripada segi pemakanan itu sama sahaja. Ikan yang berada di bawah juga boleh makan sendiri sekiranya ada ikan-ikan kecil berenang berdekatan," katanya.
Arham berkata, dia mengumpul ikan spesies Malaysian Golden Arowana serta Super Red Kalimantan sebagai hobi dan sehingga kini sudah mempunyai 50 ekor ikan.
Katanya, sebagai seorang pengumpul dan juga peniaga ikan, dia tidak menafikan rezeki 'bertambah' selepas menjaga ikan istimewa atau kembar siam itu.
Tambahnya, dia juga kini banyak menjalankan perniagaan import dan mengeksport ikan sekiranya mendapat permintaan dari luar negara.
-myMetro
0 comments:
Catat Ulasan