Sabtu, 5 Mac 2022

Mirnaz Tawar Bilik Penginapan Di Tengah Bendang


KANGAR, 4 Mac - Bilik Penginapan Mirnaz yang berkonsepkan moden, terletak di tengah sawah di Kampung Masjid, Kaki Bukit, membawakan suasana kampung yang unik, nyaman dan selesa buat pengunjungnya.

Pengusahanya Khairul Nazmi Khairuddin, 36, berkata keunikan bilik penginapan ini adalah dari segi reka bentuk dan kawasan sekelilingnya yang menampilkan persekitaran sawah padi menghijau.

“Pada awalnya saya hanya bina dua unit rumah berkonsepkan tradisional dan empat rumah kotej bentuk segi tiga, baharu sahaja ditambah dan siap dibina enam bulan lepas,” kata bapa kepada dua orang anak itu kepada Bernama.

Katanya beliau mendapat ilham untuk pembinaan rumah kotej baharu daripada rumah penginapan yang dilihatnya di Melaka dan kos binaannya dianggarkan RM300,000.

“Saya lihat di Perlis tiada lagi rumah atau bilik penginapan yang dibina seperti ini dan sama sekali tidak menyangka ia akan menerima sambutan yang baik daripada pengunjung luar Perlis,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Katanya bilik penginapan itu baru setahun lebih beroperasi dan masih ditambah baik dari segi landskapnya dari semasa ke semasa.

“Apabila malam, kawasan bilik penginapan ini akan kelihatan seperti di i-City Theme Park, Shah Alam… ada lampu yang dipasang di sekitar kawasan bilik penginapan ini.

“Perlis memang mempunyai banyak rumah dan bilik penginapan berdekatan sawah, tetapi bilik penginapan saya berada di tengah sawah… itulah kelainannya,” katanya dan menambah kebanyakkan pengunjung yang menginap di sini adalah orang luar daripada Perlis.

“Mereka suka suasana kampung ada juga yang tak pernah tengok sawah padi dan mesin rumput, jadi mereka gembira menginap di sini, ada suasana yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini.

Beliau berkata satu kawasan boleh memuatkan 25 orang sahaja mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan setiap kotej hanya boleh memuatkan daripada dua sehingga tiga orang sahaja termasuk kanak kanak.

“Alhamdulillah boleh dikatakan setiap hari ada pengunjung di sini,” katanya.

Gambar : Facebook Mirnaz Roomstay 

Artikel Asal : https://bit.ly/3CeSx7Q

Sumber : BERNAMA

#PerlisPermai💛💙

0 comments:

Catat Ulasan