"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Khamis, 21 Oktober 2021

DUN Sarawak mungkin bubar beberapa hari lagi, kata Naib Presiden PBB

Kenyataan Naib Presiden PBB, Abdul Karim Rahman Hamzah, hadir beberapa jam selepas Ketua Menteri Abang Johari Openg merangkap Presiden PBB menafikan perkara itu.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberi bayangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan dalam beberapa hari lagi, biarpun Ketua Menteri Abang Johari Openg menjelaskan tiada pembubaran buat masa ini.

Kenyataan Naib Presiden PBB, Abdul Karim Rahman Hamzah, hadir beberapa jam selepas Abang Johari merangkap Presiden PBB menafikan perkara itu dalam satu majlis di Simanggang, Sri Aman, pagi tadi.

 Menurut Karim, beliau tidak menolak kemungkinan DUN Sarawak akan dibubarkan dalam beberapa hari lagi.

Katanya, pembubaran itu perlu dilakukan bagi pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) Sarawak diadakan, selepas DUN yang sepatutnya dibubarkan 7 Jun lalu ditunda susulan lanjutan proklamasi darurat di negeri itu hingga 2 Feb 2022.

“Mungkin dalam sehari dua ini kita akan mendengar berita berkenaan pembubaran DUN dan sebagainya.

“Saya sendiri juga sedang menunggu kerana kita perlu memberi semula mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan akan datang,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Desas-desus bertiup kencang mengenai PRN12 Sarawak, dengan beberapa portal berita melaporkan Ketua Menteri, yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari dijangka membubarkan DUN esok.

Bagaimanapun, Pejabat Ketua Menteri menafikan perkara itu menerusi satu kenyataan hari ini dan menyatakan tidak ada pengumuman seumpama itu yang dijadualkan buat masa sekarang atau esok.

Sementara itu, mengenai Undi18, Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak menyifatkan dakwaan pihak pembangkang bahawa kerajaan takut dengan Undi18 adalah tidak masuk akal.

Beliau menegaskan, tidak ada sebab untuk takut dengan Undi18, sebaliknya ia dialu-alukan kerana itu hak rakyat untuk mengundi.

“Bukannya semua Undi18 akan memihak kepada mereka atau kami, jika bukan pilihan raya umum (PRU) kali ini, kita tetap akan bertemu lagi pada PRU akan datang,” katanya.

-wrlr

Dakwa diraba:Dakwa pegawai saya sekiranya salah, Sajat perlu buktikan, kata Pengarah JAIS

Nur Sajat perlu tampil membuktikan dakwaan sekiranya benar pegawai JAIS melakukan gangguan seksual terhadapnya, kata Mohd Shahzihan Ahmad. (Gambar Instagram)

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dan mendakwa pegawai penguat kuasanya jika terbukti salah meraba usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata, JAIS sudah pun membuat laporan polis terhadap dakwaan Sajat pada Januari lalu.

 “JAIS sudah buat laporan polis (awal tahun lalu) berhubung dakwaan Nur Sajat dan terserah kepada pihak polis untuk siasat.

“Jadi terpulang kepada polis untuk dakwa pegawai saya sekiranya salah. Saya tiada masalah. Buat apa saya nak bela orang yang tidak betul,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau turut meminta Sajat yang kini diberi suaka di Australia supaya tampil membuktikan dakwaan sekiranya benar pegawai JAIS melakukan gangguan seksual terhadapnya.

“Dia boleh balik ke Malaysia dan buat laporan polis atau buat apa jua laporan.

“Dia tuduh dia kena buktikan. Bila dia tuduh tanpa bukti, orang lain akan nafi tanpa bukti juga,” katanya.

Dalam temu bual dengan New York Times, Sajat berkata kejadian itu disaksikan ibunya sendiri, yang menegur dan mempertikaikan perbuatan berkenaan oleh seseorang yang sepatutnya alim.

Menurut Sajat, kejadian itu berlaku Januari lalu ketika dia dipanggil ke JAIS di mana dia dan beberapa anggota keluarga serta rakan telah menemui pegawai yang mendakwa menerima aduan awam mengenainya.

Beliau mendakwa, ketika disoal sekurang-kurangnya tiga lelaki mengasarinya termasuk meraba dadanya sebelum dia dimasukkan ke tempat tahanan lelaki selama semalaman.

Sajat berjaya melepaskan diri ke Thailand pada Februari sebelum ditahan kerana kesalahan imigresen dan hampir dihantar pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun semalam dia mendedahkan telah pergi ke Australia pada bulan ini di mana individu transgender lain dari negara ini juga pernah diberikan suaka.-FMT

PRN Melaka:PH setuju tak calonkan Norhizam

 Datuk Norhizam Hassan Baktee. - NSTP/Syafeeq Ahmad

Datuk Norhizam Hassan Baktee. - NSTP/Syafeeq Ahmad

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak akan dicalonkan mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH membabitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau.

Dalam isu empat bekas ADUN, PH menerima pandangan semua pihak yang tegas mengenai perkara ini. Perlu ditekankan kepentingan rakyat lebih penting daripada mana-mana individu.

"Oleh kerana mereka bukan ahli mana-mana parti komponen PH, soal pencalonan mereka dalam PRN tidak berbangkit di dalam mesyuarat hari ini," menurut kenyataan dikeluarkan Majlis Presiden PH hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Majlis Presiden PH bersetuju melantik bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, bagi mengetuai jentera pilihan raya PH Melaka bagi menghadapi PRN.

Selain itu, Majlis Presiden PH memutuskan untuk menghantar wakil bertemu serta berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung prosedur operasi standard (SOP) PRN Melaka.

"Ini bagi menyampaikan pandangan PH serta memastikan prinsip demokrasi dijunjung, hak parti-parti politik bertemu pengundi tidak terjejas, dan perjalanan pilihan raya adalah adil kepada semua pihak, terutama pada ketika Melaka berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Norhizam; Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) menyerahkan kepada pucuk pimpinan PH untuk menentukan tempat bakal ditandingi mereka pada PRN Melaka, 20 November ini.

Bagaimanapun, hasrat mereka bertanding atas tiket PH dikatakan ditolak rakan parti PKR, termasuk DAP yang tidak mahu menerima Norhizam yang sebelum ini bersama parti itu sebagai calon PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dan hari penamaan calon pada 8 November serta tarikh mengundi awal pada 16 November selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu.

-BH Online

Bolasepak:Cristiano Ronaldo selamatkan United sekali lagi

RONALDO meraikan gol kemenangan Manchester United ketika menentang Atalanta awal pagi tadi.

 MANCHESTER: Biar apa pun yang diperkatakan tentang Cristiano Ronaldo, bintang Portugal itu membuktikan kepulangannya ke Old Trafford memberi impak besar kepada Manchester United apabila muncul wira mereka sekali lagi.

Selepas ketinggalan 0-2 kepada Atalanta pada babak pertama, Reds Devils bangkit dengan tiga gol di separuh masa kedua untuk melakar kemenangan 3-2 dalam aksi dramatik Liga Juara-Juara di Old Trafford, awal pagi tadi.

Kemenangan itu membolehkan mereka mengungguli Kumpulan F dengan enam mata, dua mata mengatasi Atalanta dan Villarreal.

Anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer bagaimanapun meletakkan diri dalam masalah selepas membenarkan Mario Pasalic dan Merih Demiral membolosi gawang mereka di minit ke-15 serta 28.

MERIH Demiral mengejutkan Manchester United dengan meledakngol kedua Atalanta.

Begitupun, memasuki babak kedua tuan rumah memperkemaskan permainan dan sentuhan magis Bruno Fernandes membuka kepada gol pertama yang disempurnakan Marcus Rashford pada minit ke-53.

Kemasukan Paul Pogba, Edinson Cavani serta Jadon Sancho juga merubah permainan Red Devils, dan mengetuai kebangkitan hebat mereka.

MARCUS Rashford (kanan) dan Bruno Fernandes meraikan gol pertama United.

Ketua pasukan, Harry Maguire meledak gol penyamaan menerusi sepakan voli pada minit ke-75.

Ketika permainan berbaki sembilan minit, Ronaldo membuktikan mengapa dia digelar ‘Mr Eropah’ apabila menanduk hantaran Luke Shaw ke penjuru gawang lawan untuk mengesahkan tiga mata buat United.

HARRY Maguire meledak gol penyamaan.

Kemenangan itu menaikkan motivasi Red Devils sebelum menerima kunjungan musuh ketat, Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad ini. – AGENSI

Pandelela bongkar pengalaman diganggu bekas jurulatih gatal

 PANDELELA Rinong. FOTO Agensi

PANDELELA Rinong. FOTO Agensi

Kuala Lumpur: Isu gangguan seksual dan rogol kembali menular selepas ia menjadi perbualan hangat netizen membabitkan golongan artis ketika ini.

Tidak terkecuali perkara seperti itu turut dirasai oleh sebahagian atlet dan ia turut menarik perhatian ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong yang berkongsi pengalamannya apabila terpaksa berdepan dengan jurulatih yang sering membuat lawak lucah terhadap rakan atlet.

Atlet berusia 28 tahun itu dalam hantaran di laman sosial Twiternya menulis bahawa dia terpaksa berdiam diri atau terpaksa ketawa kerana takut terhadap jurulatih itu.

"Dulu saya ada seorang coach (jurulatih) yang suka buat lawak lucah. Saya buat diam je tak pun fake laugh (buat-buat ketawa) sebab takut dia.

"Pernah sekali tak tahan saya tegur dia tapi kena buli balik. Tujuh tahun kemudian dia buat kes rogol.

"Tapi paling sedih dalam tujuh tahun itu dia buat hal setiap tahun. Tapi kami atlet tak boleh buat apa sebab backup besar dia adalah head coach (ketua jurulatih) kami sendiri.

"Moral dari cerita ini adalah kita perlukan pemimpin yang baik, yang boleh menilai mana yang baik dan buruk.

"Bukannya menutup mata kesalahan yang dilakukan dan kepada mereka yang terbabit dalam kes seperti ini, tampillah bersuara. Biarpun suara kecil tetap penting sekiranya kita bersatu," tulis Pandelela di Twitter rasminya.

Bagaimanapun Pandelela berkata, golongan atlet ini sedikit bertuah apabila dilindungi oleh persatuan sukan yang mengambil berat isu membabitkan atlet mereka.

Status yang dimuat naik pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu turut mendapat perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan yang kini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludddin Abu Bakar.

Ciapan Pandelela itu mendapat lebih 14 ribu 'retweets' dan 16 ribu tanda suka selain dihujani pelbagai komen daripada netizen.

-myMetro

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 18 - Pengalaman Pertama Sekelas Dengan Orang Arab

 


Daripada Jeddah, mereka menaiki kapal terbang menuju ke Madinah dengan hati yang penuh gembira. Bumi barakah yang sebelum ini hanya dibaca dari kitab-kitab, ditonton dari kaca televisyen, didengar dari Tokki, nenek dan saudara mara yang pernah ke sana menunaikan haji dan umrah. 55 minit perjalanan di udara, tidak ada apa-apa yang menarik kerana selain awan putih, hanya padang pasir yang kelihatan. Bagi mengisi kelapangan, Zul kembali membuka kitabnya yang membicarakan tentang tujuh tokoh ulama’ fiqh dari Madinah (al-fuqaha’ al-sab’ah).

Kota Madinah menjadi impian para penuntut ilmu di seluruh penjuru negeri untuk meneguk kemanisan mutiara-mutiara nabawi. Dengan panduan para Sahabat Nabi SAW, lahir barisan ulama’ masyhur yang dikenali dengan gelaran al-fuqaha’ al-sab’ah. Mereka adalah Sa’id bin Al-Musayyib, ‘Urwah bin Az-Zubair bin Al-’Awwam, Sulaiman bin Yasar, Al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr, Abu Bakr bin ‘Abd al-Rahman, Kharijah bin Zaid, ‘Ubaidullah bin Abdillah bin ‘Utbah bin Mas’ud.

Disebutkan dalam sebuah syair yang masyhur,

إِذَا قِيْلَ مَنْ فِي الْعِلْمِ سَبْعَةُ أَبْحُرٍ * رِوَايَتُهُمْ لَيْسَتْ عَنِ الْعِـلْمِ خَارِجَةْ

Jika dikatakan siapa [yang keluasan] ilmunya [seperti] tujuh lautan * Riwayat mereka tidak keluar dari ilmu

فَقُلْ هُمْ عُبَيْدُ اللهِ عُرْوَةٌ قَاسِـمٌ * سَعِيْدٌ أَبُوْبَكْرٍ سُلَيْـمَانُ خَـارِجَةْ

Maka katakanlah mereka itu adalah ‘Ubaidullah, Urwah, Qasim * Sa’id, Abu Bakr, Sulaiman, [dan] Kharijah.

Bumi Madinah juga menyaksikan kelahiran tokoh besar pengasas mazhab Malik iaitu Imam Malik bin Anas.  Imam Malik dilahirkan 13 tahun selepas kelahiran Imam Abu Hanifah sempat hidup di zaman pemerintahan al-Walid bin ‘Abd al-Malik pada era Umayyah dan meninggal dunia pada sekitar umur 90 tahun semasa pemerintahan Harun al-Rasyid pada era ‘Abbasiyah. Disebutkan dalam satu riwayat, Imam Malik pernah bertemu dengan seorang pemuda. Beliau bertanya kepada pemuda tersebut akan namanya, maka dijawab pemuda itu, “Muhammad.” Imam Malik pun berkata “Wahai Muhammad! Bertakwalah kepada Allah, jauhi maksiat, kelak kau akan menjadi orang besar.” Pemuda itulah yang kita kenali kemudiannya sebagai Imam al-Syafie. Melalui anak-anak muridnya, Mazhab Maliki berkembang ke serata dunia seperti Mesir, Sepanyol, Tunisia, Maghribi dan sebahagian Afrika. [1] Ramai lagi tokoh-tokoh ulama’ yang agung, lahir daripada bumi Madinah seperti Imam al-Zuhri, Rabi’ah al-Ra’yi dan lain-lain.

Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Muhammad bin ‘Abdulaziz, Madinah agak kecil berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jedah. Dari jauh, sudah kelihatan sepanduk Ahlan wa Sahlan ila Jami’ah al-Islamiyyah bi al-Madinah al-Munawwarah (Selamat Datang ke Universiti Madinah). Mereka disambut urusetia yang lengkap berjubah putih dengan syimagh dikepala berwarna merah putih. Semuanya mengukir senyuman dan mengucapkan tahniah kepada para pelajar baharu. Mereka menaiki bas yang disediakan universiti, menuju ke kampus yang jaraknya hampir 40 minit darippada lapangan terbang. Di dalam bas, Zul mendapat perkhabaran daripada Rudaini bahawa ada seorang lagi pelajar daripada Terengganu iaitu Affandi turut mendapat tawaran ke Universiti Islam Madinah cuma disebabkan ada sedikit masalah visa, kemungkinan beliau akan sampai sedikit lewat berbanding yang lain.

********************

“Bakpe enta suke’ang ning?” tanya Zul kepada Shohor Bani. Terkinja-kinja Shohor Bani di depan Zul dan Zaini. Ada sesuatu nak disampaikan cuma mungkin tak terluah kerana terlalu gembira. “Alhamdulillah. Kite tige orang lulus! Ana tengok doh keputusang di papang kenyataang sakni.”, kata Shohor Bani sambil memegang tangan kedua-dua saing­nya. “Allahuakbar…!”, Zul meraup tangan ke wajahnya. Alhamdulillah, kejayaan pertama mereka di Universiti Islam Madinah adalah lulus untuk masuk terus ke kuliah tanpa perlu melalui Syu’bah Ta’lim al-Lughah li Ghayr al-‘Arab (Seksyen Pendidikan Bahasa untuk Bukan Arab). Kejayaan ini tidak lain tidak bukan adalah berkat doa para guru, ibu bapa dan sudah pasti kualiti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab semenjak di SMASZA Ladang sehinggalah di Thanawi SMAASZA Batu Burok.

Bangunan Kedekanan Kemasukan dan Pendaftaran

Bagi bukan penutur jati Bahasa Arab atau bangsa bukan Arab yang tidak melepasi temuduga bagi penentuan aras kemahiran Bahasa Arab, Syu’bah Ta’lim al-Lughah li Ghayr al-‘Arab yang ditubuhkan pada tahun 1967 hasil resolusi Majlis Penasihat Tertinggi Universiti Islam Madinah pada tahun 1964, adalah tempat di mana mereka perlu menghadiri kelas pemantapan Bahasa Arab bagi persediaan untuk memasuki kuliah. Di sini, para pelajar akan ditempatkan dalam tahap yang berbeza mengikut keputusan temuduga, dan diajar oleh pakar Bahasa Arab antaranya Syeikh Dr. V. Abdul Rahim, Syeikh Dr. ‘Abdullah bin Ahmad Qadiri dan Syeikh ‘Abdul Hadi bin ‘Umar Fallatah.

Dr. V Abdur Rahim, ulama kelahiran India yang terkenal dengan buku Durus al-Lughah al-Arabiyyah

Tanpa berlengah, mereka terus mendaftar untuk masuk ke kuliah di  bangunan ‘Imadah al-Qabul wa al-Tasjil (Kedekanan Kemasukan dan Pendaftaran). “Ni, Shohor. Kite memang kacip molek[2] tapi dalam bab ilmu ni dop buleh ikut-ikut. Kite pilih ape hok kite minat. Ni langkoh pertame untuk mase depang kite. Ana pilih Kuliah Syariah.” Zul mengambil borang Kuliah Syariah dan mengisinya. Zaini dan Shohor Bani pula mengambil borang Kuliah Dakwah dan Usuluddin.

“Enta wase seriau dop nok masuk kelah dengang sep-sep Arab nanti?”, tanya Zaini kepada Zul dan Shohor Bani. “Dakpe, insya-Allah. Kite kang biase doh dengang Ustak ‘Utuwwah, Ustak Wahdan, Ustak Taha, Ustak Sa’id al-Qasabi di SMAASZA. Aku wase’ang[3] same je.”, Zul memberikan pandangan.

*********************

“Weh, ana wase nok masuk Syu’bah Lughah lah. Dop sekong[4] ana belajor dengan sep Arab ning. Sep ye bbaloh dengan syeikh, macam nok perang doh. Kite di SMAASZA nok wi pendapat ke ustak pung beradong.[5] Syeikh bincang bab taharah[6] je pung. Nasib ye dop angkat kerusi, meje.  Sep ye cakak keluor Qur’an, Hadith, qaul[7] ulama’. Jauh beze nok banding dengang pidato Bahase Arab di SMAASZA. Ana dok aa’uu stabok mende ye cakak. Kite belajor fushah di Malaysia. Sep ye ade sleng[8] Najdi, Hijazi, Khaliji. Memang agah[9] la. Ana hok perati ning, basoh jeruk peluh. Dop berani nok masuk capur.”, kata Zaini pada satu petang, meluahkan kerisauannya. Shawarma yang dimakannya, kelihatan masih banyak berbaki. Mungkin tidak berselera. Rupa-rupanya, kerisauan yang sama juga dikongsikan oleh Zul dan Shohor Bani. Kalau di kampung semasa kecil, bolehlah mereka nak agah dengan perang bedil colok, woh getoh, ikang sekila yang paling cantik, jaguh lage ayang, tapi bila berdepan dengan bangsa Arab ni jangan dibuat main. Budak-budak pun dah main dengan unta!

“Ape kate kite gi juppe[10] Arab hok jage kemasukan, pendaftaran ning. Kite mohon untuk masuk pusat bahase. Bior lah belajor mubtada’ khabar smula dari bbaloh dengang sep Arab ning.”, Zul memberi cadangan kepada Zaini dan Shohor Bani. Kedua-duanya bersetuju dan bergerak meninggalkan kantin.

“Assalamualaikum. Err…kami, nak…”, Shohor Bani baru hendak memulakan pertanyaannya dalam Bahasa Arab. Pegawai di kaunter pertanyaan mengangkat kening dengan berkata, “Eish tibgha???”[11]. “Kasornya mung. Kalu mung sapa Tranung, siap ah mung. Nasib baik mung dop pahang aku cakak mende…”, kata Shohor Bani mengomel sendirian dalam loghat Terengganu.  Zul dan Zaini suke glekek[12] di belakang Shohor Bani.

Shohor menerangkan hasrat mereka dengan baik untuk memohon pertukaran daripada kuliah ke pusat bahasa. Pegawai tersebut menyemak dokumen Zul, Shohor Bani dan Zaini sambil menikmati syai bi al-na’na’[13] Beliau kemudiannya mundar-mandir ke meja-meja rakan sekerjanya yang lain dan bertanyakan sesuatu.“Ek eleh…enjeknye[14]. Ye dop sibuk pung tapi wak lolok[15] sibuk!”, getus Shohor Bani dengan marah. Masih belum berpuas hati dengan cara pegawai tersebut menyambut mereka.

Beliau kemudiannya menuju ke kaunter pertanyaan dan berkata, “Kamu bertiga dari Malaysia? SMAASZA? Tak perlu masuk Pusat Bahasa. Kamu sudah mahir Bahasa Arab. Boleh keluar sekarang.”. Zul, Zaini dan Shohor Bani ditinggalkan terkulat-kulat di kaunter pertanyaan. Nampaknya, terpaksalah mereka menghadap kerenah pelajar-pelajar Arab walaupun masih belum dapat membiasakan diri.

____________________

[1] Saya ada menulis sebuah buku tentang Imam Malik dan Imam Syafie secara khusus, jua himpunan kisah Imam Empat Mazhab yang dikumpulkan dalam sebuah buku. Boleh dapatkan di FB Pustaka Cahaya Kasturi

[2] Sahabat baik

[3] Berasa

[4] Tidak serasi

[5] Sopan santun, beradab

[6] Bab bersuci dalam fiqh

[7] Pandangan

[8] Dialek

[9] Sombong

[10] Bertemu

[11] Apa yang kamu nak?

[12] Ketawa terbahak-bahak

[13] Teh o dan daun mint.

[14] Mengadanya

[15] Olok-olok

Sumber Asal: zulkiflialbakri.com

 Artikel Barkaitan:

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog

 Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 4 - 10 Malam Akhir Ramadhan

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 5- Indahnya Raya

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 6- Atlit Takraw SMASZA Ladang

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri :Bab 7 - Sambutan Hari Kebesaran Islam

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 8- 11A di SMASZA Ladang

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 9- Bekwoh di Tranung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 10- Usrah, Tarbiah dan Dakwah

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 11- Cerita Budak Kubang Kekura di depan Syeikhul Azhar

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 12: Al-Arqam dan Nadamurni

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 13: Belajar dan Mengajar

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 14- Jemaah Tabligh

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 15 - “Demonstrasi Aman” di SMAASZA

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 16 - Temuduga Universiti Islam Madinah

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 17- SZB- JED

Anwar beri isyarat PH akan terima 4 bekas ADUN sebagai calon

Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menggadaikan prinsipnya menolak mereka yang melompat parti?

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi isyarat bakal menerima empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menjadi punca krisis politik untuk diletak sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Anwar berkata Pakatan Harapan (PH) sedang menimbang secara teliti dan mengambilkira semua pandangan sebelum keputusan dimuktamadkan berhubung permohonan empat ADUN itu yang menyatakan kesediaan untuk menyokong gabungan itu.

“Mengenai empat bekas ADUN itu ada dibincangkan (dalam mesyuarat Majlis Presiden PH).

“Namun, tiada apa-apa permohonan, maka perkara itu tidak dipanjangkan,” kata Anwar selepas mesyuarat Majlis Presiden PH malam ini.

 Berhubung tentangan DAP yang enggan menerima empat ADUN tersebut, Anwar berkata ia hanya perkara kecil dan memahami kebimbangan yang disuarakan oleh parti tersebut.

“Kita faham (kenyataan DAP) itu. Oleh kerana perkara itu belum ke tahap perbincangan serius, kita tunggu,” katanya lagi.

Empat bekas ADUN tersebut terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu); Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor).

Baru-baru ini, semua empat bekas ADUN itu bertemu dengan Presiden PKR, Anwar di sebuah hotel dan menyatakan kesediaan untuk bertanding atas tiket parti tersebut.

Kerajaan Melaka tumbang pada 4 Oktober lalu selepas empat bekas ADUN berkenaan umum hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka.

Susulan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dan hari penamaan calon pada 8 November serta tarikh mengundi awal pada 16 November dengan tempoh berkempen selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November.

-Agenda Daily

Rabu, 20 Oktober 2021

Ebit Lew bawa 'bidadari' bercuti di Swiss

 Ebit berkongsi foto bersama isterinya bercuti di Switzerland dalam entri di Facebook. - Foto FB Ebit Lew

Ebit berkongsi foto bersama isterinya bercuti di Switzerland dalam entri di Facebook. - Foto FB Ebit Lew

KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal, Ebit Liew membawa isteri dan anak-anak bercuti di Switzerland berdasarkan perkongsian beliau dalam akaun Facebook (FV) rasminya, hari ini.

Mengikut entri dimuat naik, Ebit selamat tiba di lokasi percutian selepas mendapat kebenaran kerajaan untuk merentas negara dan memenuhi semua syarat ditetapkan pihak berkuasa dalam mengawal penularan COVID-19.

"Alhamdulillah, sudah sampai Swiss. Bidadariku, baikkan Allah. Dia yang beri segala-galanya. Bahagia dari Allah. Dialah yang beri bahagia dahulu, kini dan selamanya.

"Tugas kita mengenali-Nya. Bersyukur kepada-Nya. Ya Allah betapa diriku menyayanginya. Sayanglah padanya... Sayanglah pada kami.

Ebit berkongsi detik menyeronokkan bercuti di salah sebuah lokasi peranginan di Switzerland bersama isteri dan empat anak mereka melalui entri di Facebook. - Foto FB Ebit Lew
Ebit berkongsi detik menyeronokkan bercuti di salah sebuah lokasi peranginan di Switzerland bersama isteri dan empat anak mereka melalui entri di Facebook. - Foto FB Ebit Lew

"Hanya kasih sayang-Mu yang kami harapkan. Dapat reda Allah dapatlah segala-galanya. Berilah reda-Mu kepada kami semua," luahnya dalam entri yang diiringi beberapa foto dirakam di negara berkenaan.

Terdahulu, lebih 15 jam lalu, Ebit menyatakan beliau dan keluarga 'terbang' menikmati percutian di Switzerland.

Menerusi entri FB, Ebit menyatakan peluang bersama keluarga menjadi detik terindah dalam hidupnya.

"Doakan ya. Bawa bidadari dan anak-anak ke Swiss (Switzerland). Tiadalah masa paling indah di dunia ini melebihi saat bersama keluarga.

"Peneman di dunia dan di sana, Insya-Allah. Semoga setiap langkah ini mendapat reda dan kasih sayang-Nya," luahnya.

Rata rata pengikut Ebit mendoakan kesejahteraan pendakwah itu ketika berada di negara orang dan menikmati percutian dengan tenang.

-BH Online

Dua Penjuru Melaka Milik BN, Tiga Penjuru Peluang PH

 

MELAKA: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu menggunakan kaedah perundingan yang inklusif, jika tidak mahu berputih mata melihat Ketua Menteri kedua Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah di negeri ini.

Hakikatnya, pertembungan tiga penjuru atau lebih tetap menguntungkan PH, tanpa perlu berasa risau undi mereka berpecah terutama di kawasan bandar.

Ini kerana, 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini disandang wakil rakyat PH tidak akan sesekali bolos, begitu juga dengan empat lagi kerusi kem bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Namun, sekiranya dua gabungan politik yang membentuk kerajaan Persekutuan sudi bekerjasama, PH dilihat bakal berdepan situasi sukar.

Jika wujud kata sepakat antara BN dan PN, semakan mendapati, hanya empat kerusi PH yang boleh dikategorikan sebagai kawasan putih iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Kesemua lubuk selamat itu merupakan kerusi milik DAP dan terletak di kawasan bandar, iaitu dalam Parlimen Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka.

DUN Bukit Katil yang disandang Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari juga tidak mustahil tewas, memandangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bekas Ketua Menteri itu hanya menang dengan majoriti 3,159.

Ketika itu, Adly berdepan pertembungan tiga penjuru dengan calon BN, Yunus Hitam dan calon Pas, Muhamat Puhat Bedol.

Ini bermakna, andai dua penjuru menjadi kenyataan, BN berupaya mengekalkan 14 kerusi miliknya manakala PN yang diterajui Bersatu, Pas dan Gerakan pula mampu merampas sekurang-kurangnya tujuh kerusi daripada PH.

Tujuh kerusi tersebut adalah Gadek yang dimenangi PH dengan majoriti tipis 307 undi, Durian Tunggal (763 undi), Kelebang (789 undi), Bemban (1,345 undi), Machap Jaya (1,336 undi), Duyong (2,895 undi) dan Bukit Katil milik Adly.

Isnin lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini manakala hari penamaan calon pula 8 November dan hari mengundi awal adalah 16 November.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan adalah Daftar Pemilih Tambahan yang dikemas kini sehingga 3 Oktober lalu.

Daftar tersebut mengandungi 495,196 pengundi terdiri daripada 482,550 pengundi biasa, 10,191 anggota tentera dan pasangan, 2,349 anggota polis serta 106 pengundi tidak hadir luar negara. – UTUSAN