Selasa, 21 Jun 2022

Suami dah bertunang? Ini reaksi Puteri Sarah

 

REAKSI ringkas Puteri Sarah berhubung dakwaan suaminya, Syamsul yang sudah bertunang dengan Ira Kazar.

PETALING JAYA – “Kalau betul, alhamdulillah, jangan lupa tanggungjawab kepada anak-anak”.

Demikian respons ringkas pelakon Puteri Sarah berhubung suaminya Syamsul Yusof yang didakwa sudah bertunang dengan seorang anak dramatis popular dikenali sebagai Ira Kazar.

Syamsul dan Ira Kazar sudah pun bertunang. Selamat bertunang Syamsul!,” tulis mesej yang dikirim seorang netizen kepada Puteri Sarah dalam Instagramnya.

Langsung tidak melatah apatah lagi terkejut, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 37, dilihat memberi reaksi dengan nada cukup positif.

“Terima kasih DM saya. Kalau betul, alhamdulillah. Jangan lupa tanggungjawab pada anak-anak,” tulisnya ringkas menerusi InstaStory.

Terdahulu, menerusi laporan sebuah portal sebelum ini, timbul desas-desus mengatakan seorang pengarah dan pelakon terkenal bakal berkahwin dengan seorang wanita yang telah dikenali sejak empat tahun lalu dalam waktu terdekat.

Sebelum ini, pelakon drama Sabarlah Duhai Hati itu pernah mendedahkan tidak lagi tinggal sebumbung dengan Syamsul. Dia juga mendakwa suaminya itu tahu punca keretakan hubungan mereka sejak 2018.

Meskipun begitu sehingga kini, Syamsul yang juga pengarah filem Mat Kilau itu masih mengunci mulut berkenaan kemelut rumah tangganya yang didakwa ada orang ketiga.

Sementara bapanya, pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam sebelum ini memberitahu media bahawa beliau enggan masuk campur hal peribadi anaknya itu dan menyerahkan kepada Syamsul untuk menyelesaikan kemelut rumah tangganya sebaik mungkin.

Untuk rekod, Puteri Sarah berkahwin dengan Syamsul pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5 dan Sumayyah yang kini berusia tiga tahun. – KOSMO! ONLINE

0 comments:

Catat Ulasan