Wahai Bersatu!
Berhentilah berebut jadi Perdana Menteri
Fokus kepada keadilan dan kemakmuran negara demi rakyat
Oleh :Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Sebagai Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), saya bersetuju dengan pandangan Presiden MN, Annuar Musa, dan MB Kedah, Sanusi Md Nor, supaya agenda siapa jadi PM tidak terlalu difokuskan, jika PN berjaya memerintah. Jika mahu juga diketengahkan siapa yang akan menjadi PM, berbincanglah dalam kalangan pimpinan PN, baharu betul, bukan dengan menonjolkan seorang sahaja, seolah-olah orang lain tidak layak.
Wal hal, ramai yang layak, cuma malu alah untuk bercakap. Maklumlah, perkara macam ini sensitif. Siapa kita untuk tentukan siapa yang paling layak jadi PM. Cermin diri dahulu, kita ni kuat ke tidak? Atau sekadar menumpang kekuatan orang (parti lain).
Kenalah ada rasa malu sedikit. Kena ada rasa izzah, kemuliaan dalam berpolitik. Baharu orang boleh hormat. Kalau belum ada apa-apa sudah nakkan jawatan, nampak sangat kita terdesak. Persoalannya, kita hebat sangatkah?
Pada hemat saya, ramai dalam kalangan parti PAS dan PPBM (Bersatu) yang berwibawa menjadi PM. Kenapa hanya fokus seorang sahaja untuk jawatan tertinggi itu? Ini belum menang lagi, bila dah menang esok, pasti Bersatu mahu lebih jawatan daripada PAS, sedangkan siapakah atau parti manakah yang mendapat lebih banyak kerusi?
Sebenarnya, Bersatu mahu apa dalam berpolitik? Mahu menegakkan keadilan hidup bernegara atau mahu merebut jawatan? Nampanya, DNA UMNO masih bersarang dalam perut Bersatu. Kuasa untuk tiket jadi kaya (dahulu). UMNO pun sudah berubah sekarang, mula cakna masalah rakyat. Takkan nak jadi teruk daripada UMNO.
Jika beginilah cara pemimpin Bersatu berfikir, tak payah mimpilah untuk memimpin kerajaan. Pasti lebih ramai yang akan melompat apabila kuasa ditawarkan. Enam lompatan pemimpin Bersatu sebelum ini, sudah jelas menunjukkan bahawa pemimpin Bersatu ini gilakan kuasa.
Jadilah macam PAS, paling penting menang dahulu. Siapa akan menjadi PM, kemudianlah bincang. Ramai sahaja orang dalam PAS dan Bersatu boleh jadi PM. Muhyiddin, juga Presiden PAS, sudah berumur. Saya yakin mereka pun sedar diri. Lagipun Muhyiddin dah pernah jadi PM. Takkan nak jadi macam Tun Mahathir. Tun M lainlah, usia dia panjang.
Muhyiddin berbeza sedikit. Saya tidak nampak beliau akan sepanjang umur Tun M, melihat kepada keadaannya sekarang. Kesihatannya tidak mengizinkan. Tengok muka pun dah tahu. Sepatutnya Muhyiddin, berterus teranglah. Berehatlah, jaga kesihatan.
Lagipun Muhyiddin ada kes, ditakdirkan kesnya lekat ketika menjadi PM, kena cari PM baharu pulak nanti. Takkan negara kita asyik bertukar PM. Sampai bila orang luar nak percaya dan melabur?
Berbeza dengan Thailand, walaupun PM negara itu sering bertukar ganti, tetapi ia tidak menakutkan negara lain untuk melabur, kerana mereka tahu, Thailand tetap akan stabil. Almaklumlah, jawatan PM di sana tidak mutlak. Mahkamat (Hakim) boleh tentukan sama ada dia berhak atau tidak menjadi PM. Bukan macam kita, PM korup pun sampai mati boleh jadi PM. Kalaulah sistem kita macam Thailand, rasanya bukan sepuluh PM kita, tetapi sudah berpuluh-puluh.
Jadi, sudah sampai masanya kita ikut demokrasi macam Thailand, mahkamah ada kuasa untuk melucutkan seseorang PM jika terbukti PM tersebut salah guna kuasa dan ternyata tidak layak, berpihak kepada musuh.
Nasihat ikhlas saya kepada Bersatu, adakah jawatan menjadi begitu penting kepada parti ini jika PN jika menang pilihan raya nanti? Jagalah hati parti lain sama, yang lebih banyak kerusi, sudah tentu lebih kuat daripada Bersatu. Adanya Bersatu hari ini, maaf cakap, kerana ada PAS. Jentera PAS jauh lebih kuat memenangkan calon (wakil rakyat) Bersatu. Ini fakta. Tanpa PAS, Bersatu sudah lama terkubur. Bukan saya cakap, semua orang cakap.
Dalam hal ini, saya suka pendekatan, Isham Jalil. Rasional dan berpijak di bumi nyata.
Hari ini, siapa yang lebih layak menjadi PM, bukanlah agenda utama. Paling penting negara ini mesti diselamatkan daripada dibolot dan dikongkong oleh ultra kiasu. Ternyata, sejak PH memerintah, yang berkuasa adalah ultra kiasu. PKR terpaksa tunduk kepada ultra kiasu, untuk terus berkuasa. Sebab itu, kita lihat yang berhak tidak dapat haknya, yang tidak berhak, dapat lebih-lebih hak. Contoh, Sekolah Persendirian Cina, yang ditatang seperti minyak yang penuh.
Kepada pemimpin PKR, saya tidak fikir PN akan beriya-iya untuk ‘menjatuhkan’ PH, jika kamu benar-benar dapat menjaga negara ini dengan baik, selain pembangunan ekonomi, sudah tentu perkara berkaitan dengan Islam, Melayu dan bumiputera mesti dijaga, begitu juga hak bangsa lain. Masalahnya, parti ultra kiasu dilihat seolah-olah membolot kuasa pemerintahan itu. Itu yang menyebabkan PN (PAS) dan rakyat geram (marah).
Sepanjang pengamatan terhadap PAS, kuasa, jawatan PM dan menteri, bukanlah penting sangat kepada mereka. Tetapi jangan ambil kesempatan. Mentang-mentang PAS kata kuasa atau jawatan tidak, maka Bersatu nak bolot semua. Tak boleh macam itu dalam berpolitik. Jangan tamak, jangan ada sifat nampak diri kita sahaja yang hebat. Orang lain tidak.
PAS pulak janganlah terlalu malu alah. Cukup-cukuplah saya selalu dengar cakap-cakap, kuasa atau jawatan PM (menteri), bukanlah perkara utama dalam PAS. Tak jadi PM pun tak pe? Tak boleh cakap macam tu selalu, nanti orang pandang rendah…
Sedangkan, dalam PAS banyak kekuatan, agamawan? Professional? Macam-macam ada. Janganlah terlalu merendah diri. Apa yang kurang?
Sebab itu, saya tidak mahu komen banyak pasal PAS seperti penganalisis sampah di luar sana. Contoh, bila tidak ada pertandingan dalam jawatan tertinggi PAS, penganalisis sampah itu kata, PAS ini dah tepu. Tepu kepala bapak kau? Kamu, penganalisis bodoh yang tidak faham budaya politik PAS. Sebelum kamu mahu komen pasal PAS tepu atau tidak? Baca dahulu apa maksud budaya politik, khusus budaya politik dalam PAS. Ini tidak, makna budaya politik pun dia tidak tahu, sedap sahaja komen. Bukankah nampak bodoh?
Kepada penganalisis politik murahan ini, baliklah semula, belajar asas ilmu politik. Apa itu politik, bermula daripada konsep city state yang dibincangkan oleh Plato, Hobbes, Rousseau, dan lain-lain. Begitu juga dengan politik Islam, sebagaimana yang dibincangkan oleh al-Mawardi, Ibn Taimiyyah, al-Ghazali dan lain-lain. Jangan pakai sedap cakap sahaja, tepu atau tak tepu. Dalam Bahasa mudah, sediakan gelanggang, mari kita berdebat. Mudah cerita. Jangan jadi penganalisis politik cari makan. Macam lalang, kita kena ada pendirian. Baru orang lain hormat.
9 September 2025










0 comments:
Catat Ulasan