Sabtu, 2 Julai 2022

Mohamed Salah pemain termahal Liga Perdana Inggeris

 Penyerang Liverpool Mohamed Salah kini adalah pemain termahal di Liga Perdana Inggeris dan keempat termahal dunia. - Foto AFP

Penyerang Liverpool Mohamed Salah kini adalah pemain termahal di Liga Perdana Inggeris dan keempat termahal dunia. - Foto AFP

LIVERPOOL: Gaji baharu 400,000 pound (RM2.13 juta) seminggu Mohamed Salah di Liverpool menjadikannya antara pemain bola sepak termahal di dunia.

Selepas beberapa bulan dibelenggu spekulasi berkenaan masa depan bintang Mesir itu, Liverpool akhirnya mengumumkan yang mereka bersetuju untuk mengekalkan Salah di Anfield sehingga tahun 2025.

Dengan Sadio Mane berpindah ke Bayern Munich bulan lalu, Jurgen Klopp pasti lega dapat mengekalkan Salah yang menjadi antara tonggak utama kejayaan Liverpool sejak beberapa tahun lalu.

Dia juga bakal menjadi pemain termahal dalam sejarah Liverpool. Salah kini menjadi pemain termahal di Liga Perdana Inggeris, mengatasi Cristiano Ronaldo dan Kevin De Bruyne yang dilaporkan menerima gaji 385,000 pound (RM2.05 juta) seminggu.

Pemain baharu Manchester City Erling Haaland di bawah mereka dengan 375,000 pound (RM1.99 juta) seminggu, jumlah sama diterima penjaga gol Manchester United David de Gea.

Salah, 30, adalah pemain keempat termahal di dunia - diatasi oleh trio Paris Saint-Germain Neymar, Lionel Messi dan Kylian Mbappe.

Neymar di tangga ketiga dengan 606,000 pound (RM3.23 juta) seminggu, Messi 960,00 pound (RM5.12 juta) manakala Mbappe dilaporkan menerima 1 juta pound (RM5.33 juta) seminggu.

"Saya gembira dapat memenangi trofi bersama kelab. Ia adalah hari yang menggembirakan buat semua orang.

"Ia mengambil masa sedikit untuk saya memperbaharui (kontrak), tetapi kini semua sudah selesai dan kita perlu fokus kepada perkara seterusnya," kata Salah. - AGENSI

0 comments:

Catat Ulasan