Alor Setar: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor enggan terbabit dalam isu tuduh menuduh berkaitan projek ladang durian Musang King di Gunung Inas, Baling, antara bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Ahmad Bashah.
Katanya, perbuatan mempersalahkan antara satu sama lain tidak akan mengubah nasib penduduk yang terjejas, sebaliknya fokus kerajaan negeri ketika ini adalah membantu semua mangsa kejadian yang berlaku pada minggu lalu itu.
"Saya tak mahu terbabit dalam permainan tuduh menuduh ini, mereka cuba seret saya masuk, tetapi saya tak tuding pada sesiapa. Orang tanya saya jawab, bukan kerja saya cari salah orang. Perbuatan bergaduh ini tidak akan selesaikan masalah mangsa.
"Semua orang hendak tahu siapa salah, adakah orang bersalah dapat bina rumah mangsa yang roboh? Saya nasihat jangan gaduh, yang penting kita kena selesaikan masalah, kena bela nasib mangsa banjir," katanya pada sidang media selepas melancarkan inisiatif Parkir Pintar Kulim di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Pada 6 Jun lalu, bencana banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Baling, yang dikatakan berpunca daripada projek ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas, mengorbankan tiga nyawa penduduk dan ribuan penduduk menjadi mangsa.
Semalam, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mendakwa syarikat ECK dibenarkan menanam durian di Gunung Inas ketika kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang diketuai Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah antara 2016 hingga 2018.
Mengulas mengenai desakan agar kerajaan negeri mendedahkan punca sebenar kejadian bencana berkenaan, Muhammad Sanusi menjelaskan, beliau tidak boleh berbuat demikian kerana perlu menunggu laporan setiap jabatan dan agensi yang melakukan siasatan.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan sekiranya laporan yang dibuat jabatan berkaitan terbabit menunjukkan punca kejadian adalah membabitkan pihak tertentu, hukuman setimpal wajar dijatuhkan.
"Sebab itu bila orang desak saya buat kesimpulan cepat dan kata projek durian sebabkan banjir, saya tidak boleh buat.
"Sebagai ketua kerajaan saya kena dengar laporan setiap jabatan dan agensi yang ada kepakaran khusus dalam bidang berkaitan.
"Kalau saya dahului laporan jabatan, tiba-tiba dapatan mereka berlainan, orang akan kata saya 'flip flop' pula. Semua jabatan diberi masa untuk buat tinjauan dan siapkan laporan mereka, saya sendiri akan tinjau Gunung Inas sekali lagi minggu depan," katanya.
-myMetro
0 comments:
Catat Ulasan