Jumaat, 14 Februari 2025

Waktu bekerja penjawat awam di Pahang berakhir 12.30 tengah hari pada Jumaat sepanjang Ramadan

 AL-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Bernama.

AL-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Bernama.

Kuantan: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menetapkan waktu bekerja penjawat awam di negeri ini berakhir pada 12.30 tengah hari pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan

Baginda bertitah, Kerajaan Pahang melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 5 Februari lalu bersetuju dan meluluskan cadangan itu.

Keputusan dan kemudahan yang diberikan ini adalah untuk memberi peluang kepada penjawat awam untuk memanfaatkan lebih masa bersama keluarga di bulan Ramadan di samping memuliakan hari Jumaat, penghulu segala hari," titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.

Al-Sultan bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Pahang Kali Ke-68 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam tadi.

Turut berangkat Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail .

Pada majlis itu, baginda bertitah, masyarakat Islam mengambil peluang untuk mendekatkan diri kepada al-Quran serta memperbanyakkan tilawah, tadabbur dan mengamalkan ajarannya di dalam kehidupan.

Titah baginda, Ramadan yang bakal tiba turut menjadi waktu dan medan terbaik untuk kembali kepada fitrah dan mengurangkan tumpuan kepada isi hal dunia.

Saya juga tidak terlepas dalam menghidupkan pembacaan al-Quran dan mentadabbur ayat suci al-Quran bersama-sama pegawai dan staf di Istana Abdulaziz.

"Sesungguhnya, al-Quran itu bukan sekadar dibaca tetapi difahami dan dihayati maknanya.

"Ilmu al-Quran ini wajib dipelajari secara bertalaqi, sebagaimana Rasulullah SAW sendiri diajarkan oleh malaikat Jibril," titah baginda.

-myMetro 

0 comments:

Catat Ulasan