Kenyataan Media
MENYALAHI DISIPLIN TAFSIR AL-QURAN : JAKIM DIMINTA TEGUR PMX
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa pihak autoriti agama supaya mengambil langkah menegur Perdana Menteri yang menyandarkan pandangannya kepada dalil Al-Quran secara tidak tepat dan menyalahi disiplin tafsir Al-Quran.
Ayat berpuasa "sepertimana umat terdahulu" tidak harus menjadi sandaran hujah bahawa orang bukan Islam juga berpuasa sepertimana umat Islam berpuasa. Kenyataan PMX jelas terdapat kekeliruan yang nyata.
Maksud "umat yang terdahulu berpuasa" dalam ayat Al-Quran tersebut adalah atas dasar syariat, ketauhidan dan kepatuhan ke atas ajaran Islam. Umat Nabi Nuh AS juga disyariatkan berpuasa, begitu juga jalur kenabian daripada Nabi Ibrahim AS dan umat-umat yang lahir selepasnya.
Ayat ini memberikan gambaran bahawa perintah berpuasa ini sudah ada sebelum disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Ia tidak boleh ditafsirkan bahawa golongan bukan Islam juga berpuasa dengan disandarkan kepada ayat "umat terdahulu juga berpuasa".
Puasa yang diamalkan oleh golongan bukan Islam sepertimana puasa 40 hari sebelum Hari Easter dalam ajaran Kristian, puasa orang Yahudi mahupun dalam agama Hindu tidak sama dengan ajaran tauhid yang terdapat dalam agama Islam. Malah, dalam konteks perubatan juga ada istilah berpuasa.
Namun, persamaan ini hanya dari sudut literal, bukan dari sudut istilah pensyariatan. Justeru, menyandarkan maksud puasa tersebut dalam satu bakul semua agama berpuasa apatah lagi menggunakan ayat Al-Quran sebagai hujah adalah perbuatan yang tidak beradab.
DUPP ingin menyatakan teguran kepada PMX di atas kehilafan beliau yang menafsirkan ayat tersebut dan meletakkannya dalam konteks yang salah. Malah, sewajarnya pihak autoriti agama yang menasihati PMX sendiri seharusnya menangani salah faham ini sebelum ia terus merebak dan merosakkan pandang sisi masyarakat terhadap pensyariatan berpuasa.
Sekian.
YB USTAZ DATO' HJ AHMAD BIN YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena.
26 Februari 2025 Hijri bersamaan 27 Sya'ban 1446 Hijri
0 comments:
Catat Ulasan