Jumaat, 27 September 2024

Kita berdagang dengan negara China tetapi perlukah kita masuk kelas belajar politik dari komunis dan mengagung-agungkan teknik indoktrinasi komunis mereka?

 


Oleh:Isham Jalil 

Baru-baru ini beberapa pemimpin kerajaan telah pergi ke China dan masuk kelas politik di sekolah politik Parti Komunis China (CPC). Ini termasuk ahli-ahli Majlis Tertinggi UMDAP. Ahli Majlis Tertinggi ini berkata dia “masuk kelas perkaderan pertama sempena lawatan sambil belajar ke China”, dan dia kata lagi “Indoktrinasi mereka kepada pelapis dan pemimpin sedia ada memang rapi dan tersusun. Banyak yang boleh ditiru dengan pengubahsuaian.” 

Saya dimaklumkan ada pihak telah membuat laporan polis berkenaan hal ini.

Saya ingin komen begini sahaja: Kita berdagang dengan negara China tetapi tidak perlulah kita masuk kelas belajar politik dari komunis dan mengagung-agungkan teknik indoktrinasi komunis mereka. Sebab ini akan mengguris sensitiviti pejuang-pejuang kemerdekaan dan pejuang darurat dahulu yang ramai yang telah mati dan dibunuh kejam menentang komunis. Dari zaman Tun Razak dulu pun pemimpin kerajaan ada pergi ke China untuk misi perdagangan. Tetapi bukan untuk masuk kelas pengkaderan komunis.

Rasulullah mungkin pernah bersabda bahawa menuntut ilmu pergilah sampai ke negeri China (saya dimaklumkan bahawa ini hadis tidak sahih). Namun semasa zaman Rasulullah dahulu ideologi komunisme belum wujud lagi. Saya tidak rasa Rasulullah suruh kita belajar ajaran komunis yang menentang agama. Apatah lagi pergi masuk kelas pengkaderan parti komunis. 

Pada asasnya ideologi komunisme menentang pengwujudan tuhan dan segala bentuk agama. Walaupun pada masa ini negara-negara komunis terpaksa terima dan tidak mampu halang rakyat mereka yang mahu mengamalkan agama, namun dari dahulu lagi sejak penulisan Karl Marx berkenaan komunisme sehingga kini, salah satu asas komunisme adalah penghapusan agama. 

Sejak tahun 1844, apabila ideologi ini ditulis, pengasas ideologi komunisme Karl Marx telah mengutuk agama. Dia menulis, “Religion is the sigh of the oppressed creature, the heart of a heartless world, and the soul of soulless conditions.” atau "Agama adalah keluhan makhluk yang tertindas, hati bagi dunia yang tidak berperasaan, dan jiwa bagi keadaan yang tidak berjiwa." 

Dan, "Religion is the opium of the people." ("Agama adalah candu bagi rakyat."). 

Juga, "The abolition of religion as the illusory happiness of the people is the demand for their real happiness." ("Penghapusan agama sebagai kebahagiaan ilusi bagi rakyat adalah tuntutan untuk kebahagiaan mereka yang sebenar.").

Karl Marx menulis lagi bahawa, “The criticism of religion is the prerequisite of all criticism." ("Kritikan terhadap agama adalah prasyarat bagi semua kritikan.")

Dalam penulisan ideologi komunisme, Marx menuntut penghapusan agama. 

Saya ingin tanya pemimpin-pemimpin kerajaan termasuk ahli-ahli Majlis Tertinggi UMDAP yang pergi ke China dan masuk kelas pengkaderan politik parti komunis ini adakah mereka pergi guna duit sendiri atau guna dana kerajaan dan duit rakyat? Jika mereka guna duit rakyat, saya sebagai seorang rakyat tidak restu yang duit kita diguna untuk hantar orang pergi belajar politik komunis dan agung-agungkan cara indoktrinasi mereka. Tidak cukup dengan mereka sokong DAP, sekarang mereka pergi belajar pengkaderan politik komunis untuk dibawa balik ke tanahair.

Sambil itu berpuluh-puluh kapal perang atau Coast Guard China berkeliaran di sekitar kawasan laut Malaysia di Laut China Selatan dan mereka minta kita hentikan aktiviti Petronas di perairan kita sendiri. Mereka kata kawasan laut kita itu mereka yang punya walaupun ia berada 100km dari Sarawak dan beribu kilometer dari China. 

Apabila kita tanya kerajaan, kerajaan kata kita akan runding. Kenapa pula kita perlu runding bila orang masuk ceroboh perairan kita? Bila orang masuk tanah kita, kita tidak runding, kita bantah dan tolak mereka keluar. Ia tidak semestinya berakhir dengan perang. Tetapi kita perlu bantah dan tolak secara tegas dahulu, bukannya terus minta runding. Hanya orang yang lemah dan lembik sahaja minta runding bila tanah dan perairan sendiri diceroboh. Ini bukan diplomasi win-win. Ini awal-awal lagi sudah mengaku kalah. Negara jiran kita pun kecil, tetapi asalkan tidak lembik bila orang ceroboh perairan sendiri.

Saya lihat lebih baik orang-orang kerajaan ini termasuk Puad Zarkashi dan Lokman Adam pergi masuk kelas sejarah tempatan berkenaan pejuang-pejuang kita yang menentang komunis dahulu daripada mereka pergi masuk kelas pengkaderan di sekolah politik parti komunis.

Berjuanglah seperti Sarjan Jamil di Bukit Kepong, janganlah jadi seperti Buang.

Salam

Source 

0 comments:

Catat Ulasan