Khamis, 26 September 2024

Sanusi sekali lagi kemuka permohonan maaf kepada Sultan Selangor

 Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri), dan Sanusi Md Nor

Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri), dan Sanusi Md Nor

ALOR SETAR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ia berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan.

Ini permohonan maaf kedua oleh Menteri Besar Kedah itu kepada Sultan Selangor selepas kali pertama pada 14 Julai tahun lalu.

Pada sidang media di sini hari ini, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), berkata warkah permohonan maaf terbaharu sudah dihantar kepada baginda.

"Patik, Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor.

"Atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam Daerah Gombak, Selangor seperti mana yang telah dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Tuanku.

"Patik menyedari bahawa kata-kata patik telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Tuanku dan patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan patik tersebut.

"Patik ingin menyembah maklum kepada Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini," demikian permohonan maaf beliau dalam warkah berkenaan.

Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah membacakan kenyataan itu pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman.

Menteri Besar mengakui, beliau sedar tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan ketika berada di negeri orang, khususnya Selangor.

"Patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan seperti mana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya.

"Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik memohon beribu keampunan kepada Tuanku Sultan Selangor serta Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-kata patik," katanya.

Beliau turut berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa depan dan akan memastikan setiap ucapannya selaras dengan adab sopan budaya Melayu yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan institusi Raja.

Dalam ucapannya yang tular pada Julai tahun lalu, pemimpin PAS itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor berkaitan pelantikan Menteri Besar negeri berkenaan.

Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk menyifatkan kenyataan terbabit menghina institusi beraja di Selangor. Muhammad Sanusi disiasat bagi kesalahan berkait ucapan berbaur 3R iaitu kaum, agama dan raja.

Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Kes berkenaan kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, pada jam 11 malam 11 Julai 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BH Online 

0 comments:

Catat Ulasan