Selasa, 17 September 2024

AP PN tolak deraf MOU antara Kerajaan Persekutuan Dan PN -TSMY

 


Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah mengambil ketetapan untuk menolak deraf MOU antara Kerajaan Persekutuan dan PN setelah meneliti keseluruhan kandungan deraf MOU tersebut secara terperinci.

MOU ini mempunyai niat tersirat untuk mengekang kebebasan Ahli-Ahli Parlimen untuk menyuarakan hasrat pengundi yang memilih mereka ke Dewan Rakyat. 

Tidak pernah dalam sejarah negara Malaysia sejak merdeka, pihak Kerajaan menetapkan perkara-perkara yang boleh dituturkan dan tidak boleh dituturkan oleh Ahli-Ahli Parlimen di luar ketetapan yang terkandung di dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan.

Misalnya, MOU ini mengandungi satu bab khusus mengenai isu bangsa, agama dan Raja-Raja di mana Ahli-Ahli Parlimen PN dilarang untuk bersuara mengenainya. Menyentuh isu-isu ini dianggap sebagai menyebarkan kebencian.

Ini tidak betul. Negara ini dibina di atas persefahaman antara kaum atau Kontrak Sosial yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai peruntukan-peruntukan khusus mengenai hak-hak kaum, agama Islam dan Raja-Raja Melayu.

Kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah untuk kaum-kaum lain (Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan), Islam sebagai Agama Persekutuan (Perkara 3), Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152), Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan pewujudan Majlis Raja-Raja (Perkara 32 dan 38) dan kebebasan setiap individu untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni (Perkara 11) adalah perkara-perkara asas pembentukan Malaysia yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Apa hak Kerajaan PH-BN untuk menghalang Ahli-Ahli Parlimen PN daripada memperjuangkan perkara-perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi suara mereka di Dewan Rakyat? Adakah Kerajaan PH-BN ingin memadam sejarah pembentukan negara Malaysia yang merdeka, meruntuhkan teras pembinaan negara bangsa yang aman dan harmoni, menafikan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak yang sah untuk kaum-kaum lain dan menulis semula perlembagaan negara secara halus menerusi MOU ini?

Selain itu, MOU ini juga membawa masuk elemen-elemen yang bertentangan dengan nilai hidup masyarakat Asia yang kuat berpegang dengan nilai moral dan agama. Misalnya, MOU ini menghalang Ahli-Ahli Parlimen PN membuat kenyataan “yang mendiskriminasi mana-mana pihak samada atas dasar agama, kaum…atau apa-apa faktor identiti yang lain”.

Identiti yang lain ini termasuklah kumpulan LGBT. Adakah ini bermakna sekiranya Ahli-Ahli Parlimen PN bersetuju dengan deraf MOU ini, maka mereka tidak boleh menentang sebarang dasar atau undang-undang yang mungkin akan digubal oleh Kerajaan PH-BN untuk membenarkan perlakuan LGBT pada masa hadapan?

Bagi saya MOU ini adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan nilai murni yang menjadi pegangan rakyat Malaysia. Ia mesti ditolak bukan sahaja oleh PN malah oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara dan memahami maksud sebenar perpaduan dan keharmonian dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama.

Bagi saya, peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen pembangkang tidak perlu dibuat menerusi apa-apa perjanjian atau MOU. Ini adalah janji PH dalam manifesto PRU-15 dan Perdana Menteri sekarang adalah daripada parti PH.

Rasulullah S.A.W bersabda, “Barang siapa tidak menepati janji seorang Muslim, nescaya ia mendapat laknat Allah, malaikat, dan seluruh manusia. Tidak diterima darinya taubat dan tebusan.” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

Pengerusi Perikatan Nasional

17 September 2024

0 comments:

Catat Ulasan