KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) mengunjurkan jualan yang lebih tinggi pada tahun ini sebanyak 314,000 unit selepas melakar sejarah apabila merekodkan jualan tertinggi 282,019 unit tahun lalu.
Pengeluar kereta kompak nasional itu juga mengujurkan jumlah pengeluaran yang lebih tinggi bagi 2023 iaitu sebanyak 330,000 unit, berbanding 289,054 unit pada 2022.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata jumlah pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi itu sebenarnya disokong oleh tempahan tertunggak yang dibawa daripada tahun lalu serta permintaan berterusan untuk kenderaan PERODUA setakat tahun ini.
"Tahun ini memberi peluang keemasan kepada kami kerana pengguna masih mempunyai keyakinan terhadap pasaran automotif.
"Malah, lebih separuh daripada jumlah sasaran kami adalah daripada tempahan yang kami kumpul tahun lalu tetapi masih belum dihantar. Tempahan tertunggak ketika ini adalah sebanyak 220,000 unit.
"Kami juga menyasarkan penguasaan pasaran yang lebih tinggi sebanyak 45 peratus tahun ini berbanding 39 peratus pada 2022," katanya ketika taklimat media Tinjauan Prestasi Perodua 2023 di sini, hari ini.
Zainal Abidin berkata, berdasarkan kapasiti normal bagi pengeluaran terpasang tahunan untuk kilang Perodua Manufacturing dan Perodua Global Manufacturing berada pada 320,000 unit dalam dua kitaran syif, kumpulan yakin masih boleh meningkatkan volum dengan menambah baik produktiviti serta memulakan kerja lebih masa.
Beliau berkata, kesan pertumbuhan pengeluaran kepada industri automotif Malaysia akan menjadi lebih ketara kerana PERODUA memperuntukkan RM10 bilion untuk membeli alat ganti daripada pembekal tempatan bagi memenuhi sasarannya bagi tahun ini.
"Komitmen pembelian ini dijangka akan menggalakkan lagi ekosistem automotif Malaysia untuk menambah baik keupayaan pengeluaran dan standard kualitinya.
"Secara ringkas, peningkatan dalam pengeluaran akan memberi rangsangan yang amat diperlukan buat industri tempatan untuk meningkatkan skala ekonomi serta bersaing lebih baik dengan rakan lain di luar negara," katanya.
Zainal Abidin berkata, beliau yakin langkah yang diambil kumpulan akan membolehkan masa menunggu tempahan kenderaan dipendekkan sebanyak 50 peratus.
Beliau berkata, PERODUA juga akan terus memmberikan sokongan dan langkah yang diperlukan oleh vendor bagi memastikan setiap komponen dan alat ganti dapat disediakan dengan lebih pantas.
Katanya, berdasarkan unjuran pengeluaran dan jualan PERODUA, jumlah keseluruhan industri (TIV) akan mencapai 700,000 unit tahun ini berbanding unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) 650,000 unit.
"Dari segi pasaran keseluruhan, kami percaya bahawa masih ada peluang yang cerah buat industri walaupun menghadapi banyak tekanan kos. Berdasarkan tempoh menunggu bagi kebanyakan jenama, serta permintaan yang masih kukuh untuk kenderaan PERODUA, kami yakin TIV berpotensi mencecah 700,000 unit tahun ini,: katanya.
Zainal Abidin berkata, bagi 2023, PERODUA menyenaraikan beberapa faktor risiko termasuklah inflasi yang lebih tinggi, peningkatan berterusan pada kadar faedah dan faktor kos luaran yang lebih tinggi seperti kos bahan api, janakuasa termasuklah kos komoditi dan bahan mentah.
Beliau berkata, faktor kos ini, jika naik terlalu mendadak akan memberi kesan negatif kepada momentum semasanya.
"Peningkatan itu bukan sahaja berpotensi menekan pasaran malah memadam keuntungan yang diperoleh industri kerana ia baru sahaja dalam proses pemulihan," katanya.
-BH Online
0 comments:
Catat Ulasan