Sabtu, 28 Januari 2023

Bakar al-Quran: Anwar lambat panggil Duta Sweden menghadap

 

Demonstrasi Solidariti Bantahan Penghinaan Agama Islam berhampiran Kedutaan Sweden di Jalan Mayang Sari, Hampshire Park, Kuala Lumpur pada hari ini, 27 Jan 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Jamal Kemala)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dilihat lambat bertindak memanggil Duta Sweden menghadap bagi memberi penjelasan berhubung isu membakar al-Quran digesa untuk memberi kata putus kepada kerajaan Sweden.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan biadab dan Islamofobia ahli politik kanan Sweden, Rasmus Paludan itu bukan pertama kali dilakukannya. 

“Saya menggesa kerajaan Malaysia Madani untuk memanggil Duta Sweden datang menghadap, desak mereka mengeluarkan penjelasan dan mengutuk sekeras-kerasnya serta mengambil tindakan terhadap ahli politik berkenaan (Rasmus Paludan).

“Ini bagi membuktikan bahawa kerajaan Malaysia benar-benar bertindak, bukan hanya sekadar menghantar nota bantahan tiga perenggan sahaja tetapi benar-benar bertindak untuk membuktikan bahawa kita umat Islam terluka dengan perbuatan itu,” tegasnya.

Ahmad Fadhli (tengah) dalam Demonstrasi Solidariti Bantahan Penghinaan Agama Islam dekat Kedutaan Sweden, Kuala Lumpur. (FOTO: HARAKAHDAILY/Jamal Kemala)

Beliau berkata demikian dalam Demonstrasi Solidariti Bantahan Penghinaan Agama Islam oleh Ahli Politik Sweden berhampiran Kedutaan Sweden, di Jalan Mayang Sari, Hampshire Park, di sini, hari ini, yang disertai kira-kira 1,000 orang.

Turut hadir, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Salamiah Mohd Nor; Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional, Ahmad Faizal Azumu; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah; Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya dan beberapa wakil badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  termasuk Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup.

Tambah Ahli Parlimen Pasir Mas itu, tindakan penghinaan Islam dilakukan ahli politik berdarah Sweden-Denmark itu telah mencabar kesucian agama Islam serta membangkitkan kemarahan dalam kalangan penganutnya. 

Demonstrasi Solidariti Bantahan Penghinaan Agama Islam bermula selepas umat Islam menunaikan solat Jumaat di Masjid KLCC sebelum berarak ke kedutaan Sweden, Kuala Lumpur. (FOTO: HARAKAHDAILY/Jamal Kemala)

“Membakar al-Quran adalah sepertimana membakar jasad-jasad kita, tindakan itu umpama membakar tubuh-tubuh kita, untuk mempertahankan al-Quran saya mencabar anak-anak muda mempertahankannya dengan tubuh kita.

“Demonstrasi ini merupakan amaran kepada kerajaan Sweden, jangan benarkan perbuatan ini berulang pada masa yang akan datang,” kata Ahmad Fadhli lagi.

Tiada istilah lambart dalam perjuangan Islam

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar, mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteriyang mengatakan bahawa perhimpunan solidariti ini sudah terlambat sebagai tiada istilah ‘lambat’ dalam perjuangan menegakkan kesucian Islam.

“Yang penting kami tahu, anda (Anwar) yang lambat panggil Kedutaan Sweden untuk menyatakan pendirian; hanya setakat tiga empat perenggan, maka kerja dah selesai – ia tidak (boleh) begitu (sahaja).

“Jadi, perhimpunan ini memberi mesej yang jelas supaya kerajaan mengambil tindakan lebih serius,” katanya kepada media selepas menghantar memorandum bantahan penghinaan agama Islam di Kedutaan Sweden di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa pihak berwajib negara ketiga terbesar di Eropah Barat itu untuk mengambil tindakan segera terhadap pemimpin pelampau tersebut. 

Kerajaan Malaysia Madani digesa memberi kata putus kepada Sweden berhubung tindakan ahli politik sayap kanan kerajaan negara itu, Rasmus Paludan membakar kitab suci al-Quran baru-baru ini. (FOTO: HARAKAHDAILY/Jamal Kemala)

Khairul Nadzir serta tiga individu lain iaitu Ketua Penerangan Armada Nasional Bersatu, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul, wakil daripada Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) dan  selebriti terkenal Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice mewakili pempengaruh media sosial dipercayai telah menghantar memorandum bantahan itu di Kedutaan Sweden, hari ini.

Terdahulu pada Sabtu lalu, Paludan yang merupakan pemimpin berhaluan kanan parti Stram Kurs  membakar kitab suci al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan dikawal ketat pasukan polis.

Perbuatan biadab Paludan itu menyebabkan Turkiye bertindak balas membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pal Jonson ke negara berkenaan.

Beberapa negara Islam lain juga mengecam perbuatan biadap pemimpin yang turut memiliki kerakyatan Denmark itu sebagai ‘provokasi kebencian yang amat melampau’. – HARAKAHDAILY 27/1/2023

0 comments:

Catat Ulasan