Selasa, 31 Januari 2023

Dr M, Muhyiddin dinamakan dalam saman berhubung HSR KL-Singapura

 

Dr Mahathir Mohamad menangguhkan projek HSR KL-Singapura ketika menerajui kerajaan PH pada 2018, manakala semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin, projek itu dibatalkan. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Dua bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, dinamakan sebagai defendan dalam saman berhubung pembatalan Projek Landasan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan pada 30 Dis, Hatta Sanuri mendakwa Mahathir cuai dan telah melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam apabila memutuskan untuk menangguhkan projek itu ketika menerajui kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Hatta mendakwa kerajaan Malaysia dan semua rakyat Malaysia kemudiannya perlu membayar pampasan sebanyak RM46 juta kepada Singapura.

Beliau mendakwa Muhyiddin juga cuai dan melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam apabila pentadbirannya menamatkan projek itu pada 1 Jan 2021, dengan Malaysia perlu membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura sebagai sebahagian daripada kewajipannya bawah perjanjian dua hala tersebut.

Hatta turut menamakan bekas menteri ekonomi Mustapha Mohamed, bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong, dan kerajaan sebagai defendan.

Beliau mendakwa 70,000 pekerjaan berpotensi bergaji tinggi daripada projek itu, potensi meraih keuntungan RM70 bilion, serta pampasan lebih RM366 juta kepada Singapura adalah antara kerugian yang dialami semua rakyat Malaysia berikutan pembatalan projek itu.

Beliau berkata, pembatalan projek itu juga mengakibatkan hilangnya keyakinan pelabur asing.

Hatta memohon deklarasi bahawa pembatalan projek itu terbatal dan tidak sah dan kedua-dua defendan telah melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam apabila membayar pampasan berjumlah RM366 juta kepada Singapura; pengembalian jumlah pampasan yang telah dibayar; serta ganti rugi dan pampasan berjumlah RM1 juta kepada setiap rakyat Malaysia atas kelewatan pembinaan HSR.

Malaysia dan Singapura mula-mula menandatangani perjanjian dua hala berhubung projek itu pada 13 Dis 2016, tetapi menamatkan projek pada 1 Jan 2021 susulan beberapa kali kelewatan.

Projek yang melibatkan pembangunan 350km itu akan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada hanya 90 minit.-FMT

Related Posts:

  • Najib mahu saman MuhyiddinNajib RazakKUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan saman fitnah terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.Selain Muhyiddin, Najib juga akan melakukan perkara yang sama terhadap Ketua Penerangan Parti Pribumi… Read More
  • Dr M, Muhyiddin dinamakan dalam saman berhubung HSR KL-Singapura Dr Mahathir Mohamad menangguhkan projek HSR KL-Singapura ketika menerajui kerajaan PH pada 2018, manakala semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin, projek itu dibatalkan. (Gambar AP)PETALING JAYA: Dua bekas perdana menteri, … Read More
  • Global Royalty fail saman terhadap Rosmah MansorKUALA LUMPUR - Firma barang kemas Lubnan Global Royalty Trading SAL akan memfailkan semula saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bagi menuntut ganti rugi terhadap 43 barang kemas bernilai AS$14.57 juta yang didakwa masih be… Read More

0 comments:

Catat Ulasan