Ahad, 28 Ogos 2022

Ucapan Azalina sindir Perdana Menteri, beri imej buruk pada UMNO

 Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman

JOHOR BAHRU: Tindakan Datuk Seri Azalina Othman, yang secara terbuka menyindir serta menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bukan sahaja mengecewakan malah memberi gambaran salah terhadap parti itu kepada masyarakat.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Mohd Fuad Tukirin, mendesak Azalina yang juga Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri, supaya melepaskan jawatannya itu bagi menjaga integriti Perdana Menteri.

Katanya, sebagai Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri, Azalina seharusnya memberi kenyataan matang dan lebih bertanggungjawab, namun beliau bertindak sebaliknya dan memberi gambaran salah bahawa Perdana Menteri perlu mencampuri urusan legislatif.

Taklimat khas Presiden kepada empat peringkat jawatankuasa UMNO seharusnya fokus kepada usaha parti berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan menyatukan ahli serta semua jentera parti.

Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Mohd Fuad Tukirin.
Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Mohd Fuad Tukirin.

"Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyeru kepada solidariti dan penyatuan dalam parti. Namun, ucapan Azalina yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri, pada awal taklimat telah mewujudkan gambaran yang salah kepada Perdana Menteri.

"Azalina bukan sahaja seolah-olah menyerang Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, malah meletakkan kesalahan ke atas Perdana Menteri, kononnya beliau telah melakukan kesilapan apabila tidak melantik Peguam Negara yang lebih 'mesra' UMNO.

"Kenyataan itu adalah amat tidak baik untuk imej parti menjelang PRU-15. Desakan terbuka supaya lantikan Peguam Negara baharu yang 'mendengar cakap' Perdana Menteri, bukan sahaja memberi imej hodoh kepada parti pada pandangan masyarakat umum, malah menggambarkan parti mahu 'mengawal' legislatif negara," katanya kepada BH.

Terdahulu, Azalina ketika berucap pada majlis Taklimat Khas Presiden UMNO, petang tadi dilaporkan berkata, Perdana Menteri seharusnya melantik Peguam Negara dalam kalangan 'orang dia' untuk memudahkan segala urusan.

Azalina dilaporkan berkata, pelantikan peguam negara dalah atas nasihat Perdana Menteri dan beliau seharusnya melantik 'orang dia' untuk memudahkan segala urusan.

"Jika kuasa penukaran Peguam Negara di tangan Perdana Menteri, mengapa Perdana Menteri tidak menukar Peguam Negara, malah ia adalah bidang kuasa Perdana Menteri," katanya.

Taklimat Khas Presiden UMNO, petang tadi, antara lain bertujuan menunjukkan solidariti parti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Mohd Fuad, yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Naning, menyuarakan rasa kecewanya dengan reaksi berlebihan ucapan pemimpin UMNO, termasuk Azalina, yang secara terbuka menyindir Perdana Menteri, sehingga memberi laluan kepada segelintir perwakilan memperlekehkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Memang kita bersedih dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

"Namun, sebagai sebuah parti utama negara, UMNO perlu menunjukkan kematangan dalam menangani proses keadilan serta menjunjung tinggi proses perundangan negara seperti yang digariskan dalam Rukun Negara," katanya.

Beliau turut mempersoalkan maksud dan tujuan kenyataan Azalina, yang menyebut beliau tidak boleh bercakap banyak kerana khuatir ditangkap.

"Ini gambaran tidak baik kepada Perdana Menteri dan parti, seolah-olah Naib Presiden UMNO itu mempunyai motif tersembunyi dalam kes Datuk Seri Najib Razak sehingga beliau diperlekehkan perwakilan secara terbuka," katanya.

-BH Online 

0 comments:

Catat Ulasan