Rabu, 15 Jun 2022

88,000 jutawan dijangka berpindah ke negara baharu

Menjelang hujung tahun ini, seramai 88,000 jutawan dijangka berpindah ke negara-negara baharu. – Unsplash

 LONDON – Jutawan-jutawan di seluruh dunia dilaporkan berhijrah dari satu negara ke negara lain, disebabkan oleh faktor seperti ketidakstabilan politik serta kadar cukai lebih tinggi, lapor agensi berita United Press International kelmarin.

Berdasarkan Laporan Warganegara Global Henly yang dikeluarkan kelmarin, ramai jutawan meninggalkan Russia, Ukraine, Britain dan Amerika Syarikat (AS) disebabkan ancaman tersebut.

Russia muncul negara paling ramai merekodkan perpindahan keluar jutawan dalam tempoh enam bulan lalu dengan 15,000 orang dijangka meninggalkan negara berkenaan menjelang  hujung tahun ini.

Pencerobohan Russia pula menjadi faktor utama yang menyebabkan golongan kaya seperti pelabur melarikan diri dari Kiev dengan anggaran seramai  2,800 jutawan dijangka meninggalkan Ukraine.

“Ramalan 2022 menunjukkan situasi ketidaktentuan ekstrem di seluruh dunia. Menjelang hujung tahun ini, seramai 88,000 jutawan dijangka berpindah ke negara-negara baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Henley & Partners, Dr. Juerg Steffen.

Sementara itu, Britain yang pernah menjadi hab kewangan dunia terus mencatatkan kehilangan jutawan susulan Brexit serta langkah kenaikan kadar cukai. Lebih 1,500 jutawan diramal meninggalkan negara itu pada hujung tahun ini.

AS juga semakin menjadi negara yang kurang popular dalam kalangan jutawan. Menurut beberapa pakar ekonomi, keadaan itu  disebabkan oleh ketidakstabilan politik dan peningkatan kadar cukai. 

Negara itu masih menarik kehadiran lebih ramai orang kaya berbanding penghijrahan keluar mereka. Bagaimanapun, unjuran kemasukan pada tahun ini adalah 1,500 individu. Angka itu  merupakan penurunan 86 peratus dari 2019 yang menyaksikan aliran masuk bersih sebanyak 10,800 individu. 

Laporan sama mendedahkan bahawa negara-negara yang paling banyak mencatatkan kemasukan jutawan  tahun ini termasuk Emiriyah Arab Bersatu yang mengatasi AS di tempat teratas  dan diikuti Australia, Singapura serta Switzerland.

Bagi tahun 2023 pula, pakar-pakar berkata, angka migrasi jutawan dijangka lebih tinggi dengan aliran diramal mencapai 125,000 individu. – Agensi  

0 comments:

Catat Ulasan