Jumlah jaringan yang besar membolosi Filipina bermakna Malaysia akan muncul naib juara Kumpulan E sekiranya tidak tewas kepada Bangladesh, dan mengatasi Filipina dari segi kelebihan gol.
Tekanan semakin menurun buat Harimau Malaya apabila Bahrain mencatatkan kemenangan tipis ke atas Turkmenistan. Seri sudah cukup untuk layak namun kemenangan yang pasti dimahukan semua.
Muhammad Safawi Rasid, Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhamad Nor Azam Abdul Azih dan Mohamad Faisal Abdul Halim kembali memperkasakan jentera serangan.
Dan paling dinantikan adalah persembahan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang menggantikan Farizal Marlias. Satu percaturan yang berani dan berkeyakinan tinggi dari Kim Pan Gon.
Seperti dua perlawanan lepas Harimau Malaya bermula garang dengan terus mengasak kubu Bangladesh bagi mencari gol seawal mungkin.
Syafiq Ahmad hampir membuka tirai jaringan diawal permainan dengan satu percubaan tetapi sayang tiang menafikan gol dari terhasil.
Arif Aiman, Faisal Halim dan Corbin Ong menjalankan tugas dengan baik menyuap dan mengumpan bola selagi boleh ke kotak penalti Bangladesh.
Hantaran cantik Faisal Halim gagal ditanduk kemas Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid membuat satu percubaan akrobatik persis pemain sepak takraw dan bola sedikit melewati palang.
Minit ke-14 Malaysia mendapat sepakan penalti selepas Atiqur Rahman melakukan terjahan keras ke atas Matthew Davies dalam perebutan bola 50-50 tapi kaki Atiqur diangkat terlalu tinggi.
Kad kuning pertama perlawanan dilayangkan pengadil kepada Atiqur Rahman dan mudah Safawi Rasid menyempurnakan penalti dengan sepakan deras ke sebelah kanan.
Gol yang ke-18 Safawi Rasid untuk Harimau Malaya.
Lontaran ke dalam jarak jauh Corbin Ong hampir menggandakan kedudukan, tandukan tajam Safawi tepat kepada penjaga gol Bangladesh dan percubaan jahat Matthew Davies dari jarak jauh sipi-sipi keluar ditepi tiang.
Bangladesh hampir menyamakan kedudukan kerana kealpaan barisan pertahanan Malaysia, Shahrul Saad berjaya menutup kealpaan itu denga baik.
Malaysia tidak panik dan memberi reaksi balas positif dengan melancarkan serangan untuk kembali mendahului dan Dion Cools hadir melakukannya.
Dion Cools menjaringkan gol kedua pada minit ke-40 melalui satu rembatan kencang dari sudut sempit yang membuatkan penjaga gol Bangladesh membuat tepisan ke dalam.
Syafiq Ahmad berjaya melakukan tandukan padu selepas menerima umpanan daripada Matthew Davies pada minit ke-45, tetapi sekali lagi dikecewakan oleh penjaga gol Bangladesh yang beraksi begitu cemerlang menafikan cubaan demi cubaan daripada barisan serangan Malaysia.
Malaysia masuk ke bilik persalinan untuk waktu rehat separuh masa dengan keyakinan yang tinggi hasil daripada persembahan yang mengkagumkan.
Separuh masa kedua dimulakan dengan membawa momentum separuh masa pertama. Seawal minit ke-46, Malaysia dianugerahkan sepakan percuma berhampiran kotak penalti Bangladesh.
Pemain bertaraf UCL, Dion Cools, dengan begitu cool mengambil sepakan tersebut melakukan sepakan knuckleshot namun ditepis keluar oleh penjaga gol Bangladesh lalu memberikan sepakan sudut kepada Malaysia.
Bola dihantar ke belakang daripada sepakan sudut ini kepada Azam Azih sebelum melorongkan bola kepada Faisal Halim, yang kemudiannya membuat umpanan gelembung buaya ke dalam kotak penalti lawan.
Umpanan ini ditanduk oleh kapten Malaysia pada malam ini, Syafiq Ahmad, sekaligus memberikan gol ketiga Malaysia dan menggamatkan lagi Stadium Bukit Jalil.
Kepala Syafiq Ahmad akhirnya mempamerkan bisanya seperti selalu.
Malaysia terus garang dalam melakukan serangan dan membuat tekanan awal atau dalam bahasa orang putih disebut early pressing tatkala pemain Bangladesh mendapat bola.
Syihan Azmi yang jarang diuji sepanjang perlawanan, dengan cemerlang menyelamatkan gol Malaysia pada minit ke-56, apabila dia menggunakan badannya untuk menahan rembatan jarak dekat penyerang Bangladesh.
Seminit kemudian, Syafiq Ahmad berjaya melepasi kawalan pertahanan Bangladesh dan menggelecek penjaga gol lalu menolak bola ke dalam gawang yang terbuka, namun gol tersebut tidak disahkan kerana dia telah berada dalam kedudukan ofsaid.
Malaysia melakukan pertukaran di barisan hadapan pada minit ke-68 apabila menggantikan ketiga-tiga pemain serangan. Syafiq Ahmad dikeluarkan dan digantikan dengan Darren Lok dan lilitan kapten pasukan diberikan kepada Dion Cools, Akhyar Rashid menggantikan Safawi Rasid dan Nazmi Faiz menggantikan Faisal Halim.
Penyerang unggul Malaysia, Darren Lok hanya memerlukan beberapa minit sahaja di atas padang apabila menjaringkan gol pada minit ke-72. Gol terhasil daripada kelincahan Akhyar Rashid di sebelah kanan padang, yang kemudiannya melorongkan bola ke kotak enam ela.
Sememangnya Darren Lok wajar mendapat gol dalam kempen kelayakan ini selepas dia mempamerkan aksi yang cukup bertenaga sepanjang dua perlawanan yang lalu.
Kekecohan telah terjadi apabila pemain Bangladesh mula koyak namun pengadil berjaya mengawal keaadaan dan tiada lagi tambahan gol dari kedua-dua pasukan hingga wisel penamat.
Sejarah tercipta selepas 42 tahun Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas satu penantian yang cukup menyeksakan.
Kesebelasan Utama Malaysia vs Bangladesh
Berikut merupakan kesebelasan utama Malaysia vs Bangladesh:
Penjaga Gol
Ahmad Syihan Hazmi Mohamed
Pertahanan
Corbin-ong La’vere Lawrence
Matthew Davies
Dion-johan Cools
Shahrul Mohd Saad
Tengah
Mohamed Syamer Kutty Abba
Muhamad Nor Azam Abdul Azih
Mohamad Faisal Abdul Halim
Penyerang
Muhammad Syafiq Ahmad
Muhammad Safawi Rasid
Arif Aiman Mohd Hanapi
Simpanan
Mohd Farizal Marlias
Mohd Khairulazhan Mohd Khalid
Ahmad Khuzaime Piee
Dominic Tan Jun Jin
Ruventhiran A/l Vengadesan
Safiq Rahim
Guilherme De Paula Lucrecio
Muhammad Nazmi Faiz Mansor
Darren Yee Deng Lok
Mohamadou Sumareh
Muhammad Akhyar Abdul Rashid
0 comments:
Catat Ulasan