Isnin, 16 Mei 2022

SEMENTARA TARIKH PRU15 DITENTUKAN KABINET, APA JADI JIKA PINDAAN PERLEMBAGAAN UMNO TIDAK DILULUSKAN ROS?

 Meskipun UMNO telah berjaya meminda perlembagaannya melalui Perhimpunan Agung Khas semalam yang menetapkan pemilihan parti hanya akan diadakan selepas enam bulan PRU dilangsungkan, perkara itu masih tertakluk kepada kelulusan Pejabat Pendaftar Pertubuhan atau RoS.

Menurut Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, terserah kepada jabatan itu untuk menentukan kelulusannya.

“Usul itu sudah diterima sebulat suara dan selepas ini UMNO akan menulis surat kepada RoS untuk mendapatkan kelulusan.

“Itulah dari segi prosedurnya.

“Kita tidak tahulah. Kita akan hantar permohonan itu untuk dapatkan kebenaran RoS terhadap pindaan itu. Kita tunggulah, kita pun tak tahu lagi,” ujarnya.

Kata beliau, UMNO perlu menghantar surat pemakluman kepada RoS berkaitan keputusan PAU Khas itu dalam tempoh 60 hari.

Persoalan utama di sini, bagaimana jika RoS tidak meluluskan pindaan tersebut yang bermakna UMNO perlu mengadakan pemilihannya sebelum 29 Disember sebagaimana ditetapkan jabatan itu sendiri sebelum ini?

Yang dirisaukan saja kerana pindaan itu dilakukan “di masa kecederaan” iaitu ketika tempoh pemilihan sedang ditangguhkan selama 18 bulan, malah menteri yang menjaga RoS iaitu Menteri Dalam Negeri juga merupakan musuh kepada UMNO.

Jika tidak diluluskan, apa pilihan yang ada pada UMNO selain akur untuk mengadakan pemilihan pada tahun ini juga?


Di samping itu, berkenaan kaitan pindaan perlembagaan tersebut dengan tarikh PRU15, Ismail Sabri menegaskan, ia sama sekali tidak mempengaruhi perkara itu.

Ini kerana katanya, penentuan tarikh PRU15 perlu dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet terlebih dahulu untuk mendapatkan persetujuan.

“Tarikh PRU itu ditetapkan oleh kerajaan dengan keputusan dari mesyuarat Kabinet.

“Kita akan bawa dalam Kabinet. Sementara parti berbeza dengan kerajaan.

“Parti pun tahu, kalau ada cadangan (untuk diadakan PRU) ia akan dibawa ke Kabinet dan Kabinet yang memutuskan.

“Kalau pun Kabinet sudah memutuskan tarikh, Kabinet akan beri mandat kepada saya untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong,” tambahnya lagi.

Ditanya, bila dijangka Parlimen akan dibubarkan, Ismail Sabri berkata, “kita tunggulah, kalau saya bagi tahu, maknanya semua sudah tahu awallah.”

Agak-agak cemas tak Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sekarang ini? -ShahbudinHusin 16/05/2022.

-wrlr

0 comments:

Catat Ulasan