Selasa, 17 Mei 2022

Berwuduk dalam keadaan tidak berpakaian, sah atau tidak?

 Untitled design (4)

HENDAKLAH mengambil wuduk dengan teratur dan sempurna mengikut rukun-rukun wuduk.

SALAH satu syarat sah solat adalah wuduk. Bukan hanya gerakan, umat Islam juga dianjurkan untuk memerhatikan adab dan etika ketika hendak menunaikan solat.

Menutup aurat merupakan hal yang sering dipertanyakan dalam Islam. Suruhan untuk menutup aurat ketika mengambil wuduk tidak ada dinyatakan sebagai satu perkara wajib atau sunat untuk dilakukan

Akan tetapi, di dalam bab mandi ada dinyatakan bahawa menutup aurat adalah satu daripada perkara sunat.

Namun begitu, ia berlainan pada keadaan mengambil wuduk atau mandi tanpa berpakaian di tempat awam, maka hukumnya jelas wajib untuk menutup aurat. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud:

“Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan begitu juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita.” (Hadis Riwayat Muslim)

BERWUDUK termasuk dalam perkara ibadah yang perlu disempurnakan.

Dalam sebuah lagi hadis, daripada Muawiyah bin Haidah, beliau berkata yang bermaksud: “Saya bertanya: “Wahai Nabi ALLAH, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Nabi menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.”

Saya bertanya: “Jika lelaki bersama lelaki?” Nabi menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” Saya bertanya: “Wahai Nabi ALLAH, jika berada dalam keadaan sendirian?”

Nabi menjawab: “ALLAH lebih berhak baginya untuk malu terhadap-NYA daripada (malu) terhadap manusia”. (Hadis Riwayat al-Tirmidzi)

Menurut Mazhab Syafie, wajib kepada seseorang muslim yang berada di dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup untuk menutup aurat.

Pandangan ini juga disokong oleh ulama dari kalangan Mazhab Hanafi dan Hanbali. Adapun begitu, dari kalangan ulama Mazhab Maliki pula, mereka menyatakan sunat untuk menutup aurat ketika berada dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup.

Namun begitu, dibenarkan seseorang itu untuk tidak menutup aurat ketika bersendirian dengan syarat ia perlu disertakan dengan hajat seperti mandi atau untuk menyejukkan badan.

Justeru, dalam keadaan tidak memakai pakaian ketika wuduk adalah sah tetapi tidaklah dilakukan di tempat terbuka atau dilihat oleh orang lain.

Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain. Walaupun sah wuduknya tetapi dia berdosa kerana mendedahkan aurat kepada orang yang haram melihatnya.


Jelaslah tidak dinyatakan sebagai perkara sunat atau wajib untuk menutup aurat ketika mengambil wuduk tetapi adalah baik untuk menutup aurat seperti yang disunatkan ketika mandi.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Sinar Harian & Pexels

-SH Online

0 comments:

Catat Ulasan